BM | EN | 中文

“Tak tolak ansur rasuah, salah laku, dadah sepanjang 22 bulan di Johor” – Ayob

ayob-khan-polis-johor-4.jpg

Gambar Ehsan FB Polis Johor

JOHOR BAHRU, 2 JAN: Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kejayaan yang dicapai sepanjang 22 bulan berkhidmat di negeri ini adalah hasil kesungguhan serta sokongan padu seluruh anggota polis kontinjen Johor, sekali gus berjaya meyakinkan segenap lapisan masyarakat yang menaruh kepercayaan tinggi terhadap polis.

Ayob Khan, 56, yang dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berkuat kuasa 25 Jan ini berkata beliau sentiasa berpegang kepada sikap berhemah, adil, berintegriti, amanah dan tegas, dalam mendepani pelbagai cabaran sepanjang perkhidmatannya di Johor.

“Biarpun kita mungkin akan ditohmah, dikecam, dikritik mahupun diugut, bagi saya, tiada tolak ansur terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam rasuah, salah laku, bersekongkol jenayah, dadah mahupun penyeliaan yang tidak telus,” katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Bulanan dan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru, hari ini.

Majlis serah terima hari ini menyaksikan Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Khaw Kok Chin memangku jawatan Ketua Polis Johor selama dua minggu bagi menggantikan Ayob Khan, sebelum jawatan itu diambil alih oleh Datuk Kamarul Zaman Mamat (ketika ini adalah Ketua Polis Kedah).

Majlis turut disaksikan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan.

Ayob Khan seterusnya menzahirkan penghargaan kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad dan semua pihak kerana memberi kepercayaan, kerjasama serta sokongan sepanjang tempoh beliau bertugas sebagai Ketua Polis Johor.

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top