BM | EN | 中文

Tak sampai dua peratus, jumlah koperasi wanita terlalu rendah

mas-ermieyati-samsudin.png

Gambar Ehsan NST

Advertisement

JITRA, 13 MAC: Hanya 248 koperasi atau 1.8 peratus koperasi wanita daripada keseluruhan koperasi berdaftar di Malaysia setakat 30 Jun 2020.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, jumlah koperasi wanita ini dilihat terlalu rendah berbanding jumlah keseluruhan koperasi berdaftar, iaitu 14,688 bagi tempoh sama.

Katanya, komposisi anggota koperasi bagi kesemua koperasi wanita pula ialah 18,750 orang ataupun 0.31 peratus daripada keseluruhan 6.1 juta anggota di seluruh Malaysia.

Advertisement

“Dari segi perolehan, koperasi wanita menyumbang RM5.6 juta ataupun 0.027 peratus sahaja daripada keseluruhan perolehan koperasi yang berjumlah RM21.1 billion setakat tempoh sama.

“Kebanyakan koperasi wanita ini terlibat dalam fungsi perkhidmatan sebanyak 42 peratus dan pengguna sebanyak 31 peratus,” katanya, lapor SH Online.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Gerakan Koperasi Kedah 2021 di Koperasi Serbaguna Kaum Ibu Kubang Pasu, di Jalan Kampung Lubuk Batu, di sini semalam.

Advertisement

Katanya, tiga negeri mencatatkan bilangan koperasi wanita tertinggi berbanding negeri-negeri lain dengan Perak (30), Johor (29) dan Selangor (26).

“Antara faktor koperasi wanita rendah ialah kurang kesedaran, kurang hubungan dan mereka tidak berani untuk tampil menguruskan koperasi,” katanya.

Sehubungan itu, Mas Ermieyati berkata, pihaknya mahu mengubah dan memperkasakan lagi koperasi wanita di seluruh negara.

Advertisement

“Di pihak kementerian, saya sendiri telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Keusahawanan dan Koperasi Wanita selain berkolaboratif dengan agensi lain untuk mencapai hasrat itu,” katanya.

Menurut beliau, anggota masyarakat khususnya golongan wanita dan profesional diseru untuk melibatkan diri dengan koperasi.

Mas Ermieyati berkata, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menyasarkan peningkatan koperasi wanita sehingga 20 peratus untuk dicapai dalam tempoh lima tahun lagi.

Advertisement

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top