ISKANDAR PUTERI, 16 NOV: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sebelum ini dikuatkuasakan oleh kerajaan dilihat tidak mendatangkan pertumbuhan ekonomi yang baik bagi negara kata Adun Kota Iskandar, Dzulkefly Ahmad.
Mengulas perangkaan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi Suku Tahunan Ketiga (Julai – September) yang mengalami penguncupan atau -2.7 peratus beliau berkata, walaupun angkanya lebih baik dari suku kedua (April hingga Jun) iaitu 17.1 peratus namun ia dijangka merosot.
Katanya, perkara itu akan dilihat pada sukuan tahunan keempat lantaran PKPB yang dikuatkuasa di beberapa negeri
“Sebagaimana yang diketahu penguncupan yang begitu besar pada Sukuan Tahunan Kedua adalah disebabkan oleh perlaksanaan PKP di seluruh negara pada 18 Mac yang lalu dan ia banyak menyekat dan mengganggu aktiviti harian ekonomi.
“Dari segi pengeluaran pertumbuhan ini didorong oleh pemulihan dalam prestasi sektor pembuatan sementara sektor-sektor lain masih menunjukkan pertumbuhan negatif yang lebih baik berbanding sukuan tahunan sebelumnya.
“Dijangkakan unjuran KDNK untuk sukuan tahunan keempat (Oktober – Disember) akan kembali menguncup lebih besar dari -2.7 peratus dari sebelumnya disebabkan pelaksanaan empat minggu PKPB bagi semua negeri semenanjung kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan.
“Walaupun PKPB membenarkan hampir semua sektor dan aktiviti ekonomi beroperasi dengan SOP, tetapi sekatan perjalanan rentas daerah dan negeri.
“Aktiviti sosial hanya dibenarkan berskala kecil termasuk sebuah kenderaan hanya boleh dinaiki oleh tiga orang sahaja,” jelasnya.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor berkata keputusan kerajaan dalam melaksanakan PKP, PKPB atau PKPP mempunyai kesan besar kepada aktiviti ekonomi rakyat dan juga pendapatan mereka.
Tambahnya, contoh PKPB yang dilaksanakan selama empat minggu di Johor seharusnya tidak perlu melibatkan ke semua sepuluh daerah.
“PKPB booleh dilaksanakan di daerah yang berstatus zon merah sahaja. Dengan cara begini aktiviti ekonomi di daerah lain yang tidak terlibat boleh berjalan seperti biasa.
“Saya bersetuju dengan pandangan Penasihat Penyelidikan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) , Dr Jomo Kwame Sundram yang menyatakan kemerosotan ekonomi negara bukanlah semata-mata kesan daripada wabak Covid 19 tetapi disebabkan PKP yang dilaksanakan.
“Kerajaan perlu mengenalpasti pendekatan lebih efektif untuk mengawal penularan Covid 19 serta memikirkan soal struktur pertumbuhan ekonomi untuk menjadi altenatif terbaik menggantikan PKP yang jelas mempunyai kesan langsung kepada ekonomi rakyat dan negara,” jelasnya lagi.
Johorkini