BM | EN | 中文

Tak rasmi – BN menang PRK Slim

PRK-DUN-Slim.png

TANJUNG MALIM, 29 OGOS: Keputusan tidak rasmi menunjukkan BN menang dalam pilihanraya kecil (PRK) Slim hari ini.

Sehingga jam 8.15 malam, BN menang di kesemua 13 pusat daerah mengundi (PDM) dalam DUN Slim, selain undi pos dan undi awal.

Malaysiakini melaporkan, di beberapa pusat daerah mengundi (PDM) menunjukkan pengundi Cina dan India yang menolak BN pada PRU 2018 membuat pilihan berbeza kali ini.

Antaranya di Ladang Sungkai, PDM dengan majoriti pengundi India (83.56 peratus).

Pada 2018, 70.35 peratus pengundi di situ menyokong calon PH tetapi kali ini sejumlah 68.26 peratus pengundi memilih calon BN.

Sementara itu, keputusan di PDM Sungai Slim Utara dengan majoriti pengundi Cina (60.85 peratus) membayangkan peralihan sokongan yang sama di kalangan pengundi kaum itu.

Pada PRU 2018, BN hanya mendapat 17.85 peratus undi di situ tetapi kali ini meraih 61.28 peratus undi.

Calon BN, Mohd Zaidi Aziz, yang juga ketua Umno bahagian Tanjung Malim, mempertahankan kerusi kubu kuat parti itu, dicabar calon bebas Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dan S Santharasekaran.

Amir Khusyairi, seorang peguam syariah bertanding atas tiket bebas tetapi mewakili parti baru yang diasaskan bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, iaitu Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Kerusi Dun Slim kosong berikutan kematian Adunnya selama empat penggal, Mohd Khusairi Abdul Talib dari BN yang meninggal dunia akibat serangan sakit jantung pada 15 Julai.

Pada PRU14, Mohd Khusairi menang dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.

Dun Slim mempunyai 22,749 pengundi di mana 75 peratus pengundi adalah berbangsa Melayu, diikuti kaum India (13 peratus), Cina (10 peratus), dan lain-lain (dua peratus).

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top