BM | EN | 中文

Tak perlu rampas, kerajaan boleh pajak dan ambil sewa tanah durian Musang King

Durian-Musang-King-Raub.jpg

JOHOR BAHRU, 27 OGOS: Kerajaan seharusnya bertindak awal dan bukannya menunggu sehingga pekebun Musang King di Pahang telah banyak mengeluarkan modal untuk melakukan pemutihan keatas tanah mereka.

Wakil kaum India Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Jeevan Supramaniam berkata, kerajaan boleh mengenakan sewa atau menggunakan sistem pajakan bagi menyelesaikan isu berkenaan.

“Seharusnya kerajaan menyokong tindakan pekebun berkenaan dengan mendapatkan hasil kepada negara bukan mengambil langkah merampas usaha pekebun berkenaan.

“Saya khuatir kerajaan Perikatan Nasional (PN) bukan mahu membantu pekebun malah akan menyusahkan pekebun di negara ini dengan pelbagai syarat yang dikenakan sebagai alasan mereka tidak mahu membantu,” ujarnya.

Kerajaan Pahang sebelum ini menerusi Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang akan mengambil alih tanaman durian dan buah-buahan yang diusahakan secara haram di sekitar Kampung Sungai Ruan dan Kampung Chalit, Raub mulai 24 Ogos.

Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Pahang dalam kenyataan sebelum ini memberi amaran akan mengambil tindakan, sama ada didakwa di mahkamah atau dimusnahkan tanaman berkaitan, jika terdapat pihak yang menceroboh selepas tarikh itu.

Sebelum itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Sallehuddin Ishak berkata Pahang rugi RM30 juta hasil cukai tanah susulan pencerobohan tanah untuk penanaman durian secara haram di Raub.

Perikatan Selamatkan Musang King (Samka) kemudiannya menyerahkan memorandum ke Parlimen berhubung kemelut antara pekebun durian di Raub dengan Royal Pahang Durian (RPD)

Pengerusinya Wilson Cheng berkata, memorandum itu menyuarakan kebimbangan RPD mahu memonopoli pasaran durian antarabangsa dan akan menjejaskan para pekebun kecil.

Dalam pada itu, turut Jeevan berkata di Johor terdapat tanah-tanah terbiar yang sepatutnya dibuka oleh kerajaan bagi membantu rakyat dalam bidang pertanian untuk diusahakan.

Tambahnya, kerajaan negeri juga boleh mengenakan syarat untuk tanah terbiar tersebut diusahakan serta antaranya pertanian kontan atau berjangka masa pendek.

“Kerajaan seharusnya membantu rakyat dalam keadaan yang tersepit ketika ini, bukan dengan mengambil langkah merampas tanah tersebut yang mempunyai hasil.

“Kita sedih dengan apa yang berlaku. Kerajaan seharusnya membangunkan ekonomi rakyat bukan merampasnya dari rakyat.

“Saya mencadangkan agar pihak kerajaan untuk mempertimbangkan berkenaan dengan soal pertanian yang mampu membantu ekonomi rakyat di negara ini bukan menyekatnya dengan pelbagai prosedur dan sebagainya,” ujarnya lagi.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top