JOHOR BAHRU, 27 MEI: Perdana Menteri Muhyiddin Yassin didakwa tidak menghormati Sultan Johor kerana gagal menyertai sesi mesyuarat khas berhubung Covid-19 bagi mewakili Parlimen Pagoh dan DUN Gambir yang diadakan hari ini.
Adun Skudai, Tan Hong Pin berkata, beliau kesal kerana Muhyiddin Yassin yang mewakili kerusi parlimen Pagoh serta kerusi DUN Gambir gagal hadir dalam sesi perbincangan itu,
“Tanpa alasan yang munasabah, ketidakhadiran Tan Sri Muhyiddin seolah-olah menunjukkan sikap tidak mengutamakan Johor dan tidak hormat kepada Raja yang menitahkan supaya semua wakil rakyat Johor berbincang bersama-sama demi kebaikan Bangsa Johor,” kata Tan dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, wakil-wakil rakyat Johor menjunjung Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar agar suatu sesi perbincangan khas berhubung Covid-19 diadakan.
Terdahulu, mesyuarat khas itu diadakan hari ini secara atas talian dengan dipengerusikan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad.
Difahamkan, taklimat khusus berkenaan tajuk Covid-19 telah disampaikan Hasni dan barisan pegawai kanan kerajaan negeri.
“Wakil-wakil rakyat dari Pakatan Harapan telah memanfaatkan peluang ini untuk memanjangkan cadangan untuk mempergiatkan lagi program vaksinasi ke seluruh pelosok negeri demi melindungi nyawa rakyat Johor daripada bahaya wabak Covid-19,” kata Tan lanjut.
Johorkini