JOHOR BAHRU, 23 OGOS: Dakwaan yang mengaitkan kemusnahan hutan dalam negara dengan pengeluaran minyak sawit disangkal Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan dakwaan tersebut sebagai “tidak berasas, tidak adil dan tidak wajar.”
Malah, Dr Mahathir berkata dakwaan tersebut acapkali dilontarkan oleh pengkritik negara. dibangkitkan oleh para pengkritik, selain dari mendakwa kononnya Malaysia mendahulukan keperluan pembangunan berbanding memelihara hutan.
Beliau berkata dakwaan yang sering diutarakan ini memberi impak kepada Malaysia yang bergantung kepada industri minyak sawit dalam meningkatkan taraf ekonomi rakyat.
“Malaysia kini berdepan cabaran apabila dituduh meletakkan keperluan untuk pembangunan berbanding keperluan hutan kita,
“Tuduhan ini membawa impak negatif kepada Malaysia yang sangat bergantung kepada industri Minyak Sawit untuk meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi rakyat kita bagi membantu kita mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs),”Dr Mahathir dipetik dalam laporan Malaysiakini.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Pameran Hutan Kita di Menara Kuala Lumpur, hari ini.
Dr Mahathir, yang juga Ahli Parlimen Langkawi, turut menegaskan bahawa Malaysia telah membangunkan industri kelapa sawit dengan mampan dan bertanggungjawab, selain mematuhi segala peraturan ditetapkan.
“Langkah-langkah itu bagi memastikan industri ini (kelapa sawit) tidak menyebabkan kemusnahan alam sekitar serta untuk mengelakkan amalan yang tidak lestari seperti pemusnahan hutan dan habitat hidupan liar.
“Industri minyak sawit Malaysia kini memfokuskan untuk meningkatkan produktiviti dan hasil dan bukannya memperluas tanah bagi mengelakkan pembasmian hutan dan perubahan tanah secara langsung atau tidak langsung,” katanya lagi.
Sumber: Malaysiakini