TAK ADA SALAHNYA KATA TAKWIM
Gambar Ehsan Gaya Travel Magazine

TAK ADA SALAHNYA KATA TAKWIM

Baru-baru ini tular tentang kata takwim yang digunakan Kementerian Pendidikan dipertikai oleh Siti Kasim sebagai istilah Arab.

Gambar Ehsan Suara TV

Sebagai rakyat yang rasional, kita tidak perlu melenting kerana dia tidak mempunyai pengetahuan tentang istilah-istilah Arab yang menjadi kata serapan dalam Bahasa Melayu sejak zaman-berzaman.

Bukan sekadar kata takwim, banyak lagi kata-kata lain yang diserap ke Bahasa Melayu dalam perkembangan bahasa sesuai peredaran zaman.

Kata takwim ini pun berkait dengan sejarah kerana ia merupakan catatan masa mengenai sesuatu peristiwa.

Jika kita menoleh kepada sejarah mana-mana tamadun di dunia, tanda waktu dirakam menggunakan objek yang biasanya wujud dalam persekitaran sesebuah masyarakat.

Sebagai contoh di Nusantara, patung Amoghapasa di Padang Candi, Sumatera menggunakan simbol matahari bagi mewakili angka dua belas.

Begitu juga dengan batu bersurat Kedukan Bukit di Palembang, Sumatera mencatatkan hubungan tarikh yang berdasarkan fenomena fasa bulan.

Matahari dan bulan adalah objek penanda waktu. Tiada tulisan dengan simbol nombor wujud pada waktu itu bagi merakam sesuatu peristiwa.

Pengaruh Hindu ke Alam Melayu juga tidak memperkenalkan sistem penandaan waktu dengan nombor. Istilah Hindu yang merujuk kepada tujuh objek langit digunakan bagi mewakili satu minggu tujuh hari.

Ada pula sistem penandaan waktu yang menggunakan nama-nama haiwan tertentu.

Selepas kedatangan Islam, barulah jelas penandaan waktu menggunakan nombor. Batu Bersurat Terengganu mencatatkan tarikh 4 Rejab tahun Hijrah 702 menurut takwim Hijriah.

Begitu juga dengan tarikh yang tercatat pada batu nisan Permatang Pasir, Pekan, Pahang yang menandakan 14 Rabiulawal tahun Hijrah 419.

Ketika pengaruh Islam tiba di Nusantara, ilmu astronomi Islam sudah pun berkembang pesat. Ilmu ini lebih dikenali sebagai ilmu falak yang membincangkan tentang fenomena alam yang membentuk peredaran musim berulang-ulang.

Serentak itu, ilmu yang dikembangkan ilmuwan Islam daripada Ptolemy dari tamadun Yunani sebelum itu turut mengembangkan ilmu nujum berdasarkan pemerhatian perubahan alam yang memberi kesan kepada kehidupan manusia.

Sebab itulah sejak kurun ke-14 iaitu selepas Alam Melayu menerima pengaruh Islam, wujudlah sistem kalendar yang dinamakan Takwim.

Raja Haji Muhammad Tahir pernah mencipta Takwim Natijah 1332H/1913M yang mengandungi ‘nasihat-nasihat’ berkenaan kedudukan bintang, bulan dan matahari dengan cuaca dan keadaan angin.

Pada musim-musim tertentu, ada makanan yang sesuai dimakan dan riadah yang sesuai dilakukan. Disertakan juga sebab musabab yang logik daripada segi kesihatan, hubungan dan kesuburan seksual, jenis makanan dengan penghadamannya serta kesesuaian ekosistem tempatan.

Kedatangan pedagang Arab ke Tanah Melayu

Sebegitu besar pengaruh Islam kepada Alam Melayu, apa hendak dihairankan apabila istilah ‘taqwim’ daripada bahasa Arab dipinjam dan diserap menjadi ‘takwim’ dalam Bahasa Melayu.

Pengaruh Islam kala kegemilangan tamadunnya yang memberi kesan kepada seluruh dunia turut mengembangkan kosa kata bahasa lain seperti Bahasa Inggeris.

‘Chemistry’ berasal daripada kata “al-kimia” (الكيمياء). ‘Alcohol’ berasal daripada kata ‘al-Kohl’ ( الكحل ). ‘Algorithm’ berasal daripada kata ‘Al-Khawarizmi’ (الخوارزمي ). ‘Alkali’ berasal daripada kata ‘al-Qali’ (القلي). Banyak lagi perkataan Arab menyerap dalam Bahasa Inggeris.

Serapan kata-kata Arab kepada tamadun Barat juga memberi makna sejarah yang penting iaitu kemodenan sains dan teknologi Andalusia pada abad ke-9 hingga 15 telah membawa kepada Renaissance dalam tamadun Barat di Eropah.

Sebagaimana sejarah perkembangan Islam mempengaruhi tamadun Barat, begitu jugalah ia mempengaruhi tamadun Melayu.

Lebih banyak berlaku perhubungan atau pertembungan bahasa dan budaya, makin berkembanglah kedua-dua bidang itu.

Bahasa Melayu bukan hanya mempunyai kosa kata serapan dari Bahasa Arab. Bahasa Portugis, Belanda dan Inggeris juga kemudiannya dipinjam dan diserap menjadi Bahasa Melayu.

Jadi tiada salah pun Kementerian Pendidikan menggunakan ‘Takwim Persekolahan’ bukan?

RUJUKAN:

1. http://www.falak.unisza.edu.my/files/Kesan_Pengamalan_Ilmu_Falak.pdf
2. https://en.wikipedia.org/wiki/List_of_English_words_of_Arabic_origin_(A-B)
3. http://studentsrepo.um.edu.my/3197/4/BAB2.pdf

Tulisan ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya menceminkan pendirian rasmi Johorkini

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )