ISKANDAR PUTERI, 12 SEPT: Kerajaan negeri melalui Tourism Johor komited mempromosi dan memperhebat kempen publisiti Tahun Melawat Johor 2020 (TMJ2020) termasuk ke negara-negara Asia bagi menjelmakan Johor sebagai negeri pelancongan yang dinamik.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Wanita dan Pelancongan Johor, Liow Cai Tung, promosi melalui program jelajah turut diadakan ke daerah-daerah di Johor, selain negeri-negeri di seluruh Malaysia.
“Program “Road Show” juga akan dilaksanakan di setiap daerah termasuk negeri Pulau Pinang, Sabah dan sekitar Lembah Klang serta negara-negara Asia terpilih,” kata Cai Tung.
Cai Tung (PH-Johor Jaya) berkata demikian menjawab soalan Osman Sapian (PH-Kempas) tentang perancangan publisiti dan persiapan negeri Johor menyambut Tahun Melawat Johor dan Tahun Melawat Malaysia 2020 semasa persidangan DUN ke-14 di Kota Iskandar, di sini, hari ini.
Tambahnya, majlis Pra Pelancaran logo dan maskot Tahun Melawat Johor 2020 juga telah disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal pada 17 Ogos lalu di Paradigm Mall, Johor Bahru.
“Manakala, di peringkat kebangsaan juga telah berlaku Majlis Pelancaran 2020 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri (Tun Mahathir Mohamad),” kata Cai Tung.
Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri turut memperkasakan kemudahan digital merangkumi hebahan promosi dan publisiti terutamanya di platform media sosial.
“Kempen Tahun Melawat Johor 2020 merangkumi aspek pengurusan prasarana iaitu menambahbaik dan memperkasakan aspek-aspek berkaitan pembangunan produk, infrastruktur, kemudahan sokongan pelancongan dan pengurusan destinasi turut dilaksana.
“Selain itu, penganjuran 20 acara dan 20 destinasi, festival, acara dan ekspo yang bertaraf nasional dan antarabangsa sebagai contoh, kejohanan “E-Sports”, Festival Layang-Layang Sedunia Kali Ke-25, Festival Perarakan Chingay dan sebagainya,” katanya.
Tambahnya lagi, siri lawatan Fam-Trip yang merangkumi penyertaan pengamal-pengamal media antarabangsa serta nasional, blogger-blogger dan sebagainya turut dilaksana.
“Kita juga turut memperhebat pengiklanan melalui penyampaian maklumat kepada media elektronik dan media massa di lokasi-lokasi strategik.
“Malah, jalinan hubungan strategik dan pintar dengan syarikat penerbangan yang mempunyai laluan penerbangan terus dari dalam dan luar negara ke negeri Johor seperti Air Asia, Malindo dan Malaysia Airline System turut dibuat,” katanya lagi.
Beliau yakin perancangan publisiti dan inisiatif-inisiatif yang mampan ini akan menjadi penanda aras bagi memperkasakan dan memacu industri pelancongan negeri Johor secara menyeluruh.
Johorkini