PUTRAJAYA, 17 SEPT: Bekas Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini mengemukakan permohonan pendaftaran parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
Bekas Ketua Pemuda Bersatu (Armada) itu hadir ke RoS di sini kira-10.30 pagi bagi menghantar beberapa dokumen untuk pendaftaran parti baharu itu.
Bernama melaporkan, Syed Saddiq berkata MUDA boleh disertai pelbagai kaum di Malaysia dan tiada had umur ditetapkan.
“Parti ini akan dipimpin oleh anak muda daripada pelbagai lapisan masyarakat,” katanya, sambil menambah MUDA kini mempunyai 13 penaja.
Menurutnya, struktur organisasi parti MUDA akan diumumkan dalam masa terdekat.
Terdahulu, anggota parlimen Muar, itu semasa dalam wawancara dengan stesen radio BFM hari ini, berkata MUDA akan menjadi parti politik Malaysia pertama diterajui golongan belia berbilang kaum.
“Selepas wawancara ini, saya akan ke terus ke Pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk mendaftar Muda sebagai parti politik.
“(Ia akan jadi) parti Malaysia pertama diterajui belia, berbilang kaum dan agama untuk memperjuangkan kepentingan semua rakyat Malaysia- tua dan muda, Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan,” katanya ketika wawancara berkenaan.
Syed Saddiq juga mengingatkan bahawa sebarang halangan yang bakal dihadapi sewaktu pendaftaran parti itu akan mengundang kecaman masyarakat.
“Saya sangat pasti majoriti masyarakat Malaysia sedia maklum dan jika terdapat sebarang halangan dalam usaha kita, ia adalah cubaan untuk menghentikan (dan) menghalang kemajuan dalam meraih entiti politik sah dan untuk membungkam suara anak muda seperti yang mereka lakukan kepada Veveonah (Mosibin) di Sabah.
“Saya rasa ini akan mengundang kecaman yang hebat,” katanya lagi.
Veveonah, yang merupakan pelajar universiti dari pedalaman Sabah baru-baru ini menjadi tumpuan apabila dua timbalan menteri menuduhnya berbohong ketika mengambil peperiksaan di atas pokok akibat capaian internet yang teruk.
Johorkini