BM | EN | 中文

Syed Mohamed Syed Ibrahim Presiden dan CEO baharu JCorp

IMG-20200110-WA0001.jpg

JOHOR BAHRU, 10 JAN: Johor Corporation (JCorp) memaklumkan pihaknya telah melantik Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim sebagai Presiden & Ketua Eksekutif JCorp yang baharu berkuatkuasa semalam.

JCorp dalam satu kenyataan memberitahu, pelantikan Syed Mohamed itu bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan penyandangnya, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim pada 31 Disember lalu.

Menurut kenyataan itu, Syed Mohamed memiliki pengalaman dan kepakaran selama 34 tahun berkhidmat dalam bidang korporat, perbankan, hartanah, perniagaan dan teknologi.

“Beliau juga merupakan pemegang Ijazah Ekonomi (Ekonomi Analisa) dari Universiti Malaya,” tambah kenyataan itu.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal yang juga merupakan Pengerusi JCorp turut memberitahu, pihaknya yakin dengan kredibiliti dimiliki Syed Mohamad.

“Saya yakin beliau akan meneruskan kecemerlangan dan daya saing JCorp yang sudah beroperasi lebih lima dekad berdasarkan peranannya selaku agen pembangunan negeri selaras dengan misi ‘Membina dan Membela’,” katanya dalam kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, Syed Mohamed memulakan kerjayanya di Bank Bumiputera (M) Bhd dan Bank Rakyat sebelum menyertai Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Johor (kini JCorp) pada 1989 hingga 1993.

“Syed Mohamed juga pernah menyandang jawatan Pengerusi FELDA Investment Corporation (FIC); Presiden dan Pengarah Eksekutif Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd; Pengerusi Encorp Berhad; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Investment Berhad; Ketua Pegawai Eksekutif TH Properties Sdn Bhd serta Pengarah Kumpulan DRB-HICOM.

“Beliau juga Pengerusi Prasarana Integrated Development Sdn Bhd dan Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Ibrahim Johor serta Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor,” ujarnya.

JohorKini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top