JOHOR BAHRU, 4 APR: Kerajaan negeri Johor tidak membenarkan mana-mana syarikat, individu atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk melakukan sanitasi di tempat awam.
Perkara tersebut dinyatakan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, R. Vidyananthan berhubung situasi semasa kes Covid-19 di negeri Johor, hari ini.
“Kerajaan negeri telah mendapat laporan bahawa terdapat kerja-kerja sanitasi di tempat-tempat awam yang dikelolakan oleh orang awam.
“Tiada kebenaran diberikan untuk kerja-kerja sanitasi di tempat awam sama ada daripada individu, syarikat-syarikat atau mana-mana Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).
“Kerja-kerja sanitasi awam hanya boleh dilakukan oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Johor, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi-agensi berkaitan,” kata Vidyananthan dalam kenyataan hari ini.
Namun katanya, orang awam boleh melakukan proses sanitasi di kediaman masing-masing dengan menggunakan cecair peluntur komersial dengan kadar 1:10 iaitu 1 liter bahan peluntur dan 10 liter air bagi bersama-sama mengekang penularan wabak Covid-19.
Dalam pada itu beliau memberitahu JPBM Johor telah melaksanakan operasi sanitasi awam Covid-19 di kesemua daerah di negeri Johor
dengan kerjasama SWCorp, PDRM, RELA, SWM, PBT dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor.
Operasi ini dilaksanakan pada 3 April 2020 bermula jam 9.00 pagi sehingga lewat malam dan mendapat kerjasama yang baik dari semua agensi dan orang ramai.
Tambahnya kerajaan negeri akan terus menjalankan operasi mengekang penularan wabak Covid-19 dan mengurangkan kebimbangan masyarakat terhadap tempat tumpuan awam seperti pasar awam, terminal bas dan teksi, bangunan kerajaan serta stesen-stesen minyak.
Johorkini