JOHOR BAHRU, 10 NOV: SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) sedia bekerjasama dengan semua pihak dalam persediaan operasi bantuan banjir di negeri Johor.
Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, pihaknya mengikuti rapat perkembangan cuaca di Johor dan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta perbadanan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam (SWCorp) untuk sebarang permohonan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) berbentuk operasi bantuan di lokasi berisiko tinggi banjir.

Mohd Norlisam Mohd Nordin
“Operasi bantuan banjir yang lazim dilaksanakan oleh pihak SWM Environment akan membabitkan penempatan tong sampah bersama kutipan lori kompaktor di pusat pemindahan sementara mengikut kesuaian lokasi.
“Pembersihan pasca banjir akan menggunakan jentera penyembur air dan ultra-whack,” kata Mohd Norlisam.
Dalam pada itu beliau mengingatkan penduduk di lokasi berisiko untuk menempatkan tong sampah beroda (TSB) dalam kediaman masing-masing bagi mengelakkan dihanyutkan arus banjir.
Manakala penduduk yang kehilangan TSB akibat dihanyutkan arus banjir diminta melaporkannya kepada balai polis berhampiran bagi melancarkan proses penggantian baharu.
“SWM Environment juga menasihatkan para penduduk untuk menggunakan TSB secara berhemah sepanjang musim hujan dengan memastikan sisa pepejal dibuang ke dalam tong dan ditutup rapi bagi mengelakkan sisa buangan basah akibat takungan air hujan.
“Bagi barangan kitar semula, sisa pukal dan sisa kebun, penduduk dinasihatkan agar menempatkannya berdasarkan Jadual Kutipan +1 sekali seminggu sahaja bagi mengelakkan sisa berkenaan basah dan rosak,” katanya lagi.
Sementara itu, SWM Environment akan turut memastikan saliran longkang di bawah perkhidmatan pembersihan awam dibersihkan mengikut jadual yang telah ditetapkan.
“Justeru itu, SWM Environment memohon kerjasama orang untuk bersama-sama menjaga kebersihan saliran longkang dengan tidak membuang sisa secara merata-rata yang boleh mengakibatkan saliran tersumbat dan menjadi punca banjir kilat,” kata Mohd Norlisam lagi.
Johorkini