KULAI, 26 OGOS: SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) menyahut seruan kerajaan Johor dalam usaha membanteras masalah sampah haram yang dikesan masih berleluasa di negeri ini.
Menurut Pengurus Wilayah Johor, Mohd Zan Arris, inisiatif tersebut memberi fokus kepada kawasan Kulai terlebih dahulu disebabkan masalah sampah haram yang kerap berulang.
“Selaku syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di negeri Johor, SWM Environment hari ini telah mengaktifkan Operasi Pembersihan Khas di Taman Lagenda Putra, Kulai,” kata Mohd Zan dalam satu kenyataan.
Tambah Mohd Zan, operasi pembersihan khas tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) SWM Environment dalam memastikan kebersihan persekitaran selain mendidik orang ramai tentang tabiat pengurusan sisa pepejal yang tertib.
“Ini seiring dengan usaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi Kempen Buang Sampah Ke Dalam Tong Sampah’ anjuran SWCorp,” katanya.
Operasi kali ini turut disertai oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Negeri Johor, Tan Chen Choon dan Pengarah SWCorp Negeri Johor, Cairul Hisham Jalaluddin.
Hadir sama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulai (MPKu), Mohammed Shakib Haji Ali dan Ahli Majlis Perbandaran Kulai, Shariza Sahil.
Operasi pembersihan sisa industri berjadual dan sisa pertanian itu melibatkan sepuluh pekerja SWM Environment dengan sokongan jentera seperti dua buah jentolak (JCB), dua buah lori Roll-On Roll-Off (RORO) dan dua buah side-car.
Dalam pada itu, pihak SWM Environment menyeru orang ramai untuk bersama membanteras masalah sampah haram di negeri Johor dengan memanfaatkan perkhidmatan yang disediakan secara percuma terutamanya kutipan sisa pukal, sisa kebun dan barangan kitar semula.
Johorkini