SWM ENVIRONMENT BANTU SJKT LADANG SUNGAI PLENTONG
Cai Tung menyempurnakan program CSR yang dilaksanakan SWM Environment

SWM ENVIRONMENT BANTU SJKT LADANG SUNGAI PLENTONG

 

JOHOR BAHRU, 8 NOV : SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) memberi sinar kepada warga Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Sungai Plentong, di sini melalui penganjuran program SWM Kasih Cahaya Deepavali menerusi program sumbangan SWM Kasih.

Pada program berkenaan sekolah berkenaan menerima sumbangan berjumlah RM1,000 dan seramai 26 muridnya dalam kalangan memerlukan dibantu menerusi Kit SWM Kasih Deepavali berbentuk barangan keperluan dapur dan Kit SWM Kasih Back To School sebagai persediaan memasuki sesi persekolahan pada tahun hadapan.

Menurut Pengurus Wilayah Johor SWM Environment, Mohd Zan Arris, pihaknya amat prihatin akan kekurangan yang dihadapi oleh warga sekolah berkenaan dan diharap bantuan itu dapat memenuhi keperluan kecerian dan keselesaan sesi pembelajaran murid.

“Kami juga menyahut saranan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menyalurkan sejumlah peruntukan bagi membantu pihak sekolah menyediakan keperluan dan kelengkap sesi pengajaran dan pembelajaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program berkenaan yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan negeri, Liow Cai Tung.

Tambahnya, melalui entiti tanggungjawab sosial korporat (CSR), kami sememangnya komited untuk menyumbang kembali kepada masyarakat di seluruh negeri Johor.

“Malah, sumbangan SWM Kasih kini berteraskan kebajikan dan pembangunan sosial yang sekali gus menyokong usaha pihak Kerajaan meringankan beban golongan B40,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Cai Tung turut memuji usaha yang dilaksanakan pihak SWM Environment dan berharap ia turut dicontohi badan-badan korporat dan masyarakat lain untuk sama-sama membantu golongan yang memerlukan melalui inisiatif berkonsepkan sedemikian.

“Usaha ini secara tidak langsung menjayakan teras strategik kesejahteraan sosial dan teras strategik pembangunan modal sosial di bawah wawasan kemakmuran bersama 2030 dengan antaranya memfokuskan tentang soal pendidikan, kebajikan, kesihatan, alam sekitar dan perpaduan sosial,” katanya lagi.

JohorKini

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )