JOHOR BAHRU, 5 DIS: Sidang Dewan Negeri (DUN) Johor dijangka kembali hangat selepas perkembangan di DUN Perak susulan undi tidak percaya kepada menteri besarnya, Mohd Faizal Azumu.
Pemikir Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain menggambarkan sidang DUN di Johor esok berkemungkinan boleh berlaku boikot di kalangan Adun kerajaan.
Katanya, DUN Johor dengan majoriti tipis adalah ruang dan peluang kepada mana-mana pihak untuk menunjukkan sikap selepas apa yang berlaku di Perak.
“Boleh berlaku boikot apatah lagi esok (Ahad) adalah undian untuk Belanjawan Johor. Ini membuka peluang kepada mana-mana pihak untuk bersikap serangan balas atau sebaliknya.
“Kita melihat apa yang berlaku di Perak itu sebagai suatu bukti nyata antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) denhgan Umno yang mengalami krisis kepercayaan antara satu sama lain.
“Ia pastinya boleh merebak ke negeri-negeri lain terutamanya Johor yang mempunyai majoriti tipis dengan Adun dari dua parti sedang berkrisis,” jelasnya ketika dihubungi.
Tambah beliau sebarang kemungkinan boleh berlaku termasuk terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Jangan kita lupa di Johor salah seorang Adunnya adalah Tan Sri Muhyiddin. Di Johor cukup untuk dua Adun berkecuali atau tidak hadir maka akan tewas pihak kerajaan.
“Perhatikan, gerakan Umno di Perak menggugurkan Timbalan Presiden Bersatu, orang kuat Muhyiddin. Inilah masanya serangan balas dibuat.
“Ini dilema dihadapi kerajaan hari ini dalam melaksanakan pelbagai agenda yang memberi manfaat kepada rakyat,” jelasnya lagi.
Johorkini