BM | EN | 中文

Suspek licik guna wang penipuan beli barangan kemas bernilai RM49,600

PDRM-Polis.png
Advertisement

KOTA BHARU, 20 JAN: Seorang pemilik kedai emas di Kota Bharu mengalami kerugian hampir RM50,000 selepas seorang lelaki membeli barangan kemas di kedainya menggunakan wang hasil penipuan pada 17 Jan lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kelantan Supt Ahmad Azizul Mohamed berkata wanita berusia 20-an itu menerima panggilan telefon daripada lelaki terbabit menyatakan ingin membeli barang kemas bernilai RM49,600 tanpa melihat dahulu barang yang hendak dibelinya.

“Suspek telah meminta nombor akaun bank dan mangsa telah menyerahkan butiran akaun bank milik kedai emasnya. Mangsa selepas itu membuat semakan akaun bank mendapati wang RM49,600 telah pun dimasukkan oleh suspek pada hari yang sama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Advertisement

Ahmad Azizul berkata pada 18 Jan, mangsa didatangi seorang wanita di kedainya mendakwa mewakili suspek untuk hadir mengambil barang kemas yang dibeli suspek.

Beliau berkata mangsa kemudian menyerahkan kepada wanita tersebut seutas rantai leher, beberapa utas rantai tangan dan beberapa Gold Bar 999.9 dengan nilai keseluruhan berjumlah RM49,600.

Difahamkan, mangsa menyedari ditipu selepas menerima panggilan daripada polis Johor memintanya memberi kerjasama membantu siasatan melibatkan wang RM49,600 yang telah dimasukkan oleh seorang mangsa jenayah penipuan di negeri itu ke akaun bank milik pemilik kedai emas tersebut.

Advertisement

Beliau berkata wanita itu kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pada hari yang sama bagi menafikan penglibatannya dengan kes penipuan di Johor dan merasakan telah teraniaya dalam urusan jual beli emas tersebut.

Katanya, polis akan melakukan siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara, sebat dan juga denda.

Ahmad Azizul berkata berdasarkan maklumat, suspek sebelum itu telah membuat penipuan melibatkan penjualan sebuah kenderaan di Johor yang diiklankan menerusi media sosial pada 16 Jan.

Advertisement

“Mangsa yang berminat dengan iklan jualan itu telah memasukkan sejumlah RM2,400 ke dalam satu akaun peribadi suspek dan telah memasukkan sejumlah RM49,600 pula ke dalam akaun bank milik peniaga kedai emas di Kota Bharu selepas diarahkan oleh suspek,” katanya.

Beliau berkata mangsa di Johor telah membuat laporan polis pada 18 Jan setelah mengesyaki telah ditipu apabila suspek tidak dapat dapat dihubungi dan tidak menerima kenderaan yang dibeli.

Bernama

Advertisement

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top