BM | EN | 中文

Surirumah menangis rayu mahkamah kurangkan hukuman

IMG-20200227-WA0008.jpg

Suriana (kanan) di bawa keluar dari Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU, 27 FEB : Seorang surirumah dijatuhkan hukuman denda RM6,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memberi keterangan palsu berkaitan perbicaraan kes rasuah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini.

Tertuduh, Suriana Abdul Karim, 36 yang merupakan ibu kepada dua orang anak itu menangis merayu kepada mahkamah agar hukumannya dikurangkan.

Hakim Faiz Dziyauddin kemudian menetapkan hukuman denda RM6,000 dan hukuman penjara selama dua bulan jika gagal bayar.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh pada 7 Jun 2018, di Mahkamah Sesyen Jenayah 1 Khas Rasuah, Johor Bahru telah memberi pernyataan kepada Hakim Mahkamah Sesyen dan didapati pernyataan tersebut secara keseluruhan tidak selaras dengan pernyataan yang dibuat sebelumnya.

Kenyataan sebelumnya dibuat kepada Penolong Penguasa Ahmad Azmi Abd Majid, seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 22 Ogos 2016 dan kepada Penolong Penguasa Syamsul Salim, seorang pegawai SPRM pada 20 September 2016 semasa mereka menjalankan kuasa yang diberikan oleh Akta SPRM 2009 (Akta 694) di Pejabat SPRM Cawangan Kluang.

Ekoran itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah subseksyen 27(2) Akta 694 dan boleh dihukum di bawah subsekyen yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwaan K Shatesh, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Suriana menangis ketika meminta pihak mahkamah mengurangkan hukuman kerana mempunyai tanggungan seorang anak yang masih sekolah tadika, manakala seorang lagi masih menyusu badan.

Katanya, suaminya ditahan kerja dan masih dalam tempoh perbicaraan dan mereka kini tinggal bersama orang tuanya.

Mengikut fakta kes, tertuduh memberi keterangan palsu berhubung transaksi pengeluaran wang dari akaun Maybank miliknya di antara tahun 2009 sehingga pertengahan 2015 dan tiga keping cek Maybank Islamic atas namanya berjumlah RM25,000.

Cek tersebut dikeluarkan oleh Syarikat Arjuni Enterprise kepada Mohd Razi Basar iaitu suami kepada tertuduh sebagai balasan membantu Syarikat Arjuni Enterprise mendapatkan kerja-kerja kontrak pembekalan di Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Johor (JPVNJ).

JohorKini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top