BM | EN | 中文

Suri rumah antara tiga individu ditipu pengurus ejen hartanah, rugi RM103,000

PDRM-Polis.png

JOHOR BAHRU, 7 SEPT: Seorang suri rumah antara tiga individu yang terpaksa berputih mata selepas mendakwa menjadi mangsa penipuan seorang pengurus ejen hartanah bagi urusan pembelian rumah kedai, membabitkan kerugian RM103,000.

Pada sidang media di Pejabat MCA Pasir Gudang di sini, hari ini, ketiga-tiga mereka mendakwa menjadi mangsa penipuan suspek yang sama dalam urusan jualan rumah kedai bernilai bawah RM300,000 di kawasan Tebrau, di sini, menerusi satu iklan pada tiga tahun lepas (2018).

Chia Moi Hon, 45, berkata dia menghubungi ejen hartanah di nombor tertera pada iklan berkenaan dan membuat bayaran deposit sebanyak RM36,000 serta mempunyai dokumen perjanjian, yang jika proses pembelian tidak berjaya dalam tempoh 200 hari, duit akan dikembalikan semula.

Menurut wanita itu, segala proses pembelian itu dilakukan oleh ejen hartanah itu bersama seorang pengurus ejen hartanah lelaki yang dikenali sebagai ‘Janon’ berusia dalam lingkungan 43 tahun.

Bagaimanapun, ibu kepada dua anak itu berkata semuanya terbongkar apabila ejen hartanah berkenaan memintanya membuat laporan polis setelah mendakwa turut ditipu oleh pengurus terbabit yang kini telah menghilangkan diri.

Teng Mong Boon, 45, yang mempunyai perniagaan barangan elektronik dan Law Chin Chiang, 45, seorang kontraktor masing-masing mendakwa membayar deposit RM24,000 dan RM43,000.

Ketua Biro Aduan Awam Biro MCA Bahagian Pasir Gudang Lim Thow Siang yang turut hadir pada sidang media itu berkata, suspek juga dipercayai memperdaya lebih 40 individu bagi membeli lot kedai dan rumah dengan nilai kerugian hampir RM3 juta.

Beliau berharap individu lain yang turut menjadi mangsa penipuan suspek segera tampil membuat laporan polis dan hadir ke pejabat MCA Pasir Gudang atau menghubungi Timbalannya Ang Tun Chek di talian 019-7720906.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Ismail Dollah ketika dihubungi mengesahkan kes itu sedang disiasat.

Bernama

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top