BM | EN | 中文

[SURAT PEMBACA] Isu pengangkutan ke PPV di Johor, apa penyelesaian?

PPV-Persada-Johor.png
Advertisement

Oleh: Mohamad Shafwan dan Fakhrurrazi Rashid

Dalam satu laporan akhbar The Star, kami tersentuh membaca perjalanan pasangan warga emas yang terpaksa membuat perjalanan 127 km dari rumah mereka di Batu Pahat untuk mendapatkan vaksin AstraZeneca di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega Pusat Konvensyen Antarabangsa Johor Bahru (Persada).

Ramai pihak yang memuji kesungguhan pasangan tersebut yang sanggup membuat perjalanan jauh demi mendapatkan suntikan vaksin. Tetapi, pada hemat kami, cerita ini merungkaikan realiti sebenar cabaran dihadapi rakyat untuk mendapatkan vaksin, khususnya di luar Lembah Klang.

Advertisement

Terdapat dua isu yang boleh kita lihat dalam pengendalian PPV. Pertama, kebanyakan PPV ini bersifat ‘mega’ dan terletak di tengah-tengah pusat bandar. Kedua, rakyat di kawasan luar bandar tidak mempunyai pengangkutan awam yang selesa dan selamat untuk ke PPV.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mengkibol, Chew Chong memberi contoh perjalanan pergi balik mereka yang berada di Kluang ke Persada adalah 220km. Penjelasan ini sudah cukup menggambarkan keluasan kawasan di Johor, khususnya jarak antara satu tempat ke satu tempat selalunya memakan masa yang lama.

Ada pula pihak yang sudah berdaftar untuk mendapatkan vaksin di PPV tarik diri pada saat-saat akhir. Masalah ini juga sering diterima oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) oleh kerana tiada pengangkutan atau rasa takut untuk menerima vaksin. Oleh itu, sekiranya masalah ini tidak diselesaikan, maka usaha mempercepatkan vaksinasi akan terjejas.

Advertisement

Apa yang boleh dilakukan?

Salah satu pendekatan yang boleh dibuat bagi mengatasi masalah pengangkutan ke PPV adalah memanfaatkan sepenuhnya pengangkutan dan aset dimiliki oleh kerajaan seperti kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Bomba, dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APAM), dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk membawa mereka yang tidak mempunyai pengangkutan untuk menerima vaksin.

Pendekatan ini telah digunakan beberapa negara. Contohnya pasukan polis di Haryana, sebuah wilayah di India, telah menggunakan 440 SUV untuk membantu pasukan ambulan membawa pesakit Covid-19 mendapatkan rawatan. Pendekatan ini dapat membantu usaha melawan virus pandemik yang masih tinggi di India.

Advertisement

Bayangkan kalau sebahagian kenderaan pasukan beruniform di Malaysia dapat menawarkan perkhidmatan perjalanan ke PPV di Johor, tentunya orang awam tidak mempunyai masalah untuk mendapatkan vaksin.

Jadi, tidak salah sekiranya semua badan penguatkuasa di peringkat persekutuan, negeri, dan PBT membawa orang awam ke PPV untuk mendapatkan vaksin. Malah, ia dapat meningkatkan keyakinan orang ramai untuk mendapatkan vaksin dengan mudah.

Selain itu, kerajaan Johor sebenarnya boleh mencontohi dasar yang dibuat oleh kerajaan Selangor yang memberikan rebat pengangkutan RM20 kepada penerima vaksin yang menggunakan perkhidmatan e-hailing ke PPV.

Advertisement

Namun, ia tidak seharusnya terikat kepada perkhidmatan e-hailing. Kerajaan Johor boleh melihat kerjasama dengan pemandu teksi, bas, dan pelancong yang boleh menyediakan perkhidmatan pengangkutan kepada penerima vaksin ke PPV.

Kaedah ini dilaksanakan oleh beberapa PBT di United Kingdom dengan melakukan kolebersi bersama syarikat teksi tempatan bagi menyediakan perkhidmatan pengangkutan mendapatkan vaksin. Pihak PBT akan menyenaraikan syarikat perkhidmatan teksi yang berdaftar di laman sesawang PBT bagi memudahkan orang awam menguruskan perjalanan mendapatkan vaksin.

Ia juga boleh membantu penerima vaksin menempah pengangkutan tersebut lebih awal untuk melancarkan perjalanan mereka, khususnya buat penerima vaksin kategori warga emas dan tinggal jauh dari PPV yang disediakan.

Advertisement

Sekiranya kerajaan Johor ingin melaksanakan usaha ini, kami mencadangkan agar rebat berpatutan harus diberikan kerajaan kepada penerima vaksin yang menggunakan perkhidmatan pemandu teksi, pengusaha bas persiaran, dan bas sekolah ke PPV.

Harus ditekankan juga, pemandu-pemandu ini perlu berdaftar dengan kerajaan negeri atau PBT yang berdekatan untuk terlibat dalam inisiatif ini demi menjamin keselamatan orang awam dan tidak berlaku ketirisan kewangan.

Selain rebat, kerajaan Johor juga boleh mempertimbangkan memberi subsidi kepada pemandu yang memberikan perkhidmatan pengangkutan ke PPV untuk orang awam. Subsidi dan rebat ini bukan sahaja menguntungkan penerima vaksin, tetapi akan membantu perusahan dan pemandu teksi, bas, dan pelancong yang terjejas teruk akibat pandemik dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Advertisement

Mencapai imuniti kelompok bangsa Johor

Jika cadangan untuk memberi perkhidmatan pengangkutan dapat dilaksanakan, maka tidak ada alasan lagi untuk bangsa Johor tidak berdaftar atau mengambil mudah pengambilan vaksin yang telah disediakan oleh kerajaan.

Sikap ini hanya akan merugikan diri dan masyarakat yang sedang berusaha sedaya-upaya melindungi diri mereka daripada jangkitan virus agar mereka boleh kembali menjalankan kehidupan dan meneruskan aktiviti ekonomi seperti biasa.

Advertisement

Tidak salah sekiranya PPV mahu dibuat tempat yang ‘mega’ dah ‘gah’. Tetapi, jika ia tidak memudahkan penerima vaksin, khususnya mereka yang tidak mempunyai kenderaan yang kondusif dan tinggal jauh di PPV, adakah ia akan membantu usaha menggalakkan orang ramai mendapatkan vaksin di Johor? Kami fikir tidak sama sekali.

Langkah untuk menambah baik perkhidmatan pengangkutan ke PPV sekitar Johor adalah sebahagian daripada perancangan untuk memastikan sasaran kerajaan mencapai 80 peratus imuniti kelompok pada akhir 2021 dapat dilaksanakan.

Ianya harus dilakukan dengan menggerakkan jentera kerajaan di peringkat persekutuan, negeri, dan PBT dan kerjasama masyarakat dalam mengatasi kelemahan tadbir urus PPV.

Advertisement

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Johorkini

 

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top