BATU PAHAT, 8 SEPT: Sungai Koris, Batu Pahat dikatakan semakin cetek kerana dilitupi lumpur mengakibatkan sampan-sampan nelayan sukar untuk ke laut.
Perkara itu dijelaskan Adun Senggarang, Ir Khairuddin A Rahim yang berkata Sungai Koris sudah tidak digali dan dibersihkan selama lebih 18 tahun.
Katanya, pokok dan tumbuhan di tepi sungai tersebut turut membesar serta dahannya menutupi saliran sungai di sekitar sungai tersebut.
“Nelayan terpaksa menunggu air pasang selama dua jam untuk membolehkan sampan atau bot masuk ke muara sungai atau keluar dari muara sungai.
“Selain itu juga jeti kayu yang dibina oleh nelayan sendiri sudah semakin uzur dan menunggu masa untuk rebah.
“Ia dikenal pasti telah menjejaskan pendapatan 50 nelayan akibat masalah ini.
“Selain itu kos penyelenggaraan enjin bot turut menjadi pertikaian apabila kerap kali rosak dan memakan kos yang tinggi untuk dibaikpulih,” katanya ketika dihubungi.
Khairuddin berkata, masalah tersebut telah lama dibawa olehnya ke pihak berwajib namun sehingga kini masih tiada tindakan diambil.
Tambahnya lagi, beberapa cadangan telah diajukan bagi membaiki keadaan di sungai tersebut tanpa menjejaskan ekosistem sungai berkenaan.
“Cadangan saya adalah agar sungai tersebut sepanjang 1 km yang perlu digali segera serta jeti baharu dibangunkan.
“Selain itu pokok-pokok di sepanjang sungai perlulah dibersihkan. Ia mengundang bahaya kepada bot-bot nelayan yang terpaksa mengelak dahan-dahan kayu yang telah membesar dan menutupi sungai tersebut.
“Saya telah beberapa kali membawa masalah ini ke pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam Mesyuarat Tindakan Daerah termasuk JPS negeri.
“Surat permohonan peruntukan untuk melaksanakan kerja tersebut telah dikemukakan ke Kementerian Pembangunan Luar bandar (KPLB) dan masih tiada jawapan sehingga kini.
“Saya akan membawa suara ini sekali lagi dalam sidang Dun yang akan datang bagi memperjuangkan nasib nelayan di kawasan ini,” katanya lagi.
Johorkini