MUAR, 2 OGOS: Angkatan Wanita Amanah (AWAN) Nasional berjaya menyempurnakan ibadah korban bagi sambutan hari raya Aidiladha tahun ini melalui sumbangan 12 ekor lembu oleh organisasi itu di sini, semalam.
Ketua AWAN Johor, Nor Hayati Bachok berkata, program anjuran AWAN kali ini bertujuan untuk menyantuni penduduk kampung dan kawasan setempat yang datang dari pelbagai latar belakang.
Kata Nor Hayati, program tersebut bermula dari hari raya pertama Aidil Adha bagi memeriahkan tradisi umat Islam mendapat sambutan menggalakkan dari penduduk tempatan.

Nor Hayati Bachok
“Alhamdulillah. Untuk tahun ini kita dapat melakukan ibadah korban ini dengan jaya.
“Saya turut berbesar hati apabila DUN saya (Maharani) dipilih oleh AWAN Nasional untuk mengadakan program tersebut.
“Keunikan tahun ini adalah sambutan yang dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Ia agak mencabar kerana kita terpaksa melakukan beberapa prosedur keselamatan seperti pemakaian pelitup separuh muka, sukatan suhu badan dan juga bilangan peserta yang terhad.
“Namun cabaran itu tidak menghalang program ini berjalan lancar dan ia dapat diurus dengan baik serta tersusun,” katanya ketika ditemui.
Nor Hayati yang juga Adun Maharani, Muar turut berterima kasih kepada semua petugas dan jentera AWAN yang hadir secara sukarela membantu melancarkan program tersebut.

Senator Aiman Athirah Al Jundi
Dalam pada itu, Ketua AWAN Nasional, Senator Aiman Athirah Al Jundi berkata pemilihan kawasan Maharani ini adalah bertujuan untuk meraikan Adun daripada AWAN.
Selain itu, kita juga mahu membantu Nor Hayati dalam gerak kerja beliau di kawasan yang diwakilinya ini.
“Ia program yang mampu mengeratkan semua pihak dan bersempena dengan Hari Raya Aidiladha.
“Kita mahu semua pihak dapat merasai sedikit kelebihan yang diperolehi. Antara lain kita mahu memfokuskan DUN Maharani disebabkan Adun yang merupakan Timbalan Ketua AWAN Nasional serta melihat sendiri tahap sokongan dan gerak kerja yang selama ini dilakukan oleh pihaknya.
“Program ini antara lain adalah program turun padang dalam bertemu rakyat serta masyarakat umum di kawasan ini dan mendapatkan respon dari mereka,” ujarnya ketika ditemui.
Program ini turut dihadiri Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang melawat ke pusat penyembelihan di Masjid Al-Husna, Parit Keroma, Muar.
Johorkini