JOHOR BAHRU, 8 JUN: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah agar rakyat jangan mudah terpengaruh dengan golongan antivaksin yang dipelopori pihak tertentu, sebaliknyaa memahami tujuan pengambilan vaksin untuk mencegah jangkitan Covid-19 daripada terus mengancam kesihatan orang ramai.
Baginda bertitah, Islam mengajar kita agar sentiasa memelihara keselamatan diri menerusi segala langkah pencegahan daripada apa jua kemudaratan khususnya wabak penyakit.
Tambah baginda, kaedah dalam menentukan hukum-hakam ada menegaskan bahawa membenteras keburukan adalah lebih utama daripada membawa sesuatu kebaikan.
“Mencegah penyakit lebih baik daripada mengubatinya. Janganlah kita mendengar cerita karut yang disebarkan puak anti-vaksin ini.
“Dapatkan vaksin demi keselamatan diri dan untuk imuniti kelompok agar penularan Covid-19 dapat dicegah,” titah baginda yang dimuatnaik ke laman facebook rasmi baginda, hari ini.
Baginda memetik firman Allah dalam Surah Al-Baqarah, Ayat 195 yang bermaksud: “Jangan kamu campakkan diri kamu ke lembah kebinasaan.”
Kata Baginda, Islam mengajar umatnya untuk tidak menolak sesuatu tanpa sebab munasabah dan vaksin Covid-19 ini yang disediakan kerajaan dan sudah difatwakan halal oleh Jawatankuasa Fatwa.
“Islam tidak membenarkan umatnya berserah bulat-bulat kepada takdir yang akan menimpa tanpa sebarang usaha dan ikhtiar untuk mengelakkannya.
“Bagi mereka yang sudah menerima suntikan vaksin, janganlah leka pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pula,” titah baginda.
Dalam pada itu, Sultan Johor mengingatkan pihak tertentu supaya tidak mempolitikkan isu vaksin kerana kerajaan sedang dan terus berusaha serta mengambil peduli pendekatan bagi meningkatkan pendaftaran rakyat untuk mendapatkan vaksin.
Johorkini