BM | EN | 中文

Sultan Johor minta rakyat berhati-hati susulan cuaca tidak menentu

sultan-ibrahim-johor.jpg

Gambar FB Sultan Ibrahim

Advertisement

JOHOR BAHRU, 4 JAN: Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menasihati rakyat di negeri itu supaya berhati-hati selepas banyak kawasan dinaiki air akibat cuaca tidak menentu ketika ini.

Baginda juga menitahkan kerajaan negeri, jabatan dan agensi berkaitan agar menyalurkan bantuan secukupnya kepada mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di pelbagai daerah.

“Berlaku peningkatan mangsa banjir ekoran hujan lebat dan PPS juga dibuka di pelbagai daerah. Perlu diingatkan juga kepada semua agar terus menjaga keselamatan serta kesihatan diri agar penyakit tidak menular.

Advertisement

“Pada masa sama, saya amat berharap penduduk-penduduk khususnya di kawasan berisiko sentiasa berwaspada serta mematuhi nasihat pihak berkuasa untuk berpindah jika penempatan mereka dinaiki air,” titah baginda.

Kenyataan itu disiarkan menerusi hantaran di laman Facebook Sultan Johor yang dimuat naik oleh Royal Press Office iaitu Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor semalam.

Sultan Ibrahim turut menasihati rakyat agar merancang perjalanan mereka bagi mengelak terkandas berikutan beberapa laluan utama dinaiki air.

Advertisement

“Disebabkan keadaan cuaca semasa, rakyat perlu lebih berhati-hati dan membuat perancangan sewajarnya. Sama-sama kita berdoa semoga keadaan akan kembali pulih,” titah baginda.

Sementara itu, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan meluangkan masa melawat mangsa banjir di PPS Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru, Masai di sini semalam.

Ketibaan baginda pada kira-kira 4.15 petang disambut oleh Pegawai Daerah Johor Bahru Abdul Rahman Salleh.

Advertisement

Baginda sempat bertanyakan khabar mangsa banjir di pusat itu sebelum berangkat pulang kira-kira 15 minit kemudian.

Penghulu Mukim Plentong Mohd Nurul Faiz Aman, ketika ditemui pemberita selepas itu, berkata Tunku Ismail turut mengingatkan beliau untuk mengumpul maklumat mangsa banjir bagi memudahkan agensi berkaitan menyalurkan bantuan selepas ini.

Bernama

Advertisement

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top