BM | EN | 中文

Sultan Johor mahu semua ADUN berganding bahu bantu rakyat

Sultan-Ibrahim-Sultan-Iskandar.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 14 MEI: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah agar semua ADUN negeri ini berganding bahu dalam membantu rakyat yang menghadapi kesukaran khususnya ketika penularan wabak Covid-19 ketika ini.

Baginda bertitah, sekarang bukan masa untuk bertegang urat dan bertikam lidah bagi mencari pengaruh peribadi atau kepentingan peribadi.

“Tindakan itu akan melahirkan satu virus yang lebih berbahaya iaitu virus perpecahan. Virus ini nampaknya telah menular di kalangan pemimpin politik.

Advertisement

“Mereka yang dijangkiti virus ini akan lupa diri dan tidak pedulikan kepentingan rakyat, asalkan mereka dapat apa yang dikejar untuk kepentingan diri.

“Saya berharap virus perpecahan ini dapat dibendung bagi mengekalkan keharmonian dan perpaduan hidup rakyat yang telah kita bina sekian lama,” titahnya.

Sultan Ibrahim bertitah sedemikian ketika merasmikan pembukaan Sidang DUN di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Advertisement

Tuanku turut menzahirkan ucapan penghargaan terhadap petugas barisan hadapan dan semua pihak yang terlibat dalam usaha menangani wabak Covid-19.

“Terima kasih juga saya ucapkan kepada kerajaan pusat dan kerajaan negeri yang telah menghulurkan bantuan sewajarnya di waktu rakyat berdepan dengan cabaran yang tidak terduga ini,” tambahnya.

Sultan Ibrahim turut bertitah agar mesyuarat Sidang DUN hari ini dibuat dengan seberapa singkat yang boleh sebelum kemudiannya ditangguhkan ke satu tarikh lain apabila keadaan telah kembali pulih sepenuhnya.

Advertisement

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top