BM | EN | 中文

Sultan Johor mahu penjelasan kerajaan pentadbiran Tun M tak teruskan semakan Pulau Batu Puteh

Sultan-Ibrahim-ISultan-Iskandar.jpg

Gambar Ehsan FB Sultan Ibrahim ISultan Iskandar

Advertisement

JOHOR BAHRU, 14 OKT: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bertitah mahukan penjelasan tindakan kerajaan ketika pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 2018 tidak meneruskan permohonan semakan penghakiman kes Pulau Batu Puteh di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Titah Sultan Ibrahim dalam hantaran di laman facebook rasminya menyatakan, tindakan mesti diambil ke atas mereka yang bertanggungjawab jika ada pihak melakukan kecuaian dan kekhilafan dalam tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran kes Pulau Batu Puteh.

“Tindakan sedemikian seolah-olah mengalah sebelum masuk gelanggang. Kenapa keputusan untuk tidak meneruskan permohonan itu diambil sedangkan kita telah menemui bukti baharu yang berpihak kepada kita? Ini yang menyebabkan saya cukup terkilan.

Advertisement

“Mengapa soal kedaulatan Johor seolah-olah tidak penting kepada kerajaan pada waktu itu? Adakah kita negeri anak tiri? Kalau tak suka Johor…

“Cuba kalau Malaysia kehilangan Pulau Langkawi kepada Thailand, bagaimana rasa orang Kedah agaknya?

“Saya mahu pasukan petugas khas yang ditubuhkan Perdana Menteri dapat menjelaskan punca kerajaan sewaktu pimpinan Dr. Mahathir menarik balik semakan kes berkenaan.

Advertisement

“Ambil tindakan setegas-tegasnya jika benar berlaku kekhilafan. Ini adalah soal kedaulatan kita,” titah baginda kepada Royal Press Office (RPO) hari ini.

Kiriman itu turut memetik Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dalam satu kenyataan telah memaklumkan kerajaan negeri memberi jaminan akan bekerjasama dan membantu pasukan petugas khas Kerajaan Persekutuan.

Penubuhan pasukan itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri bagi membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan pilihan yang bersesuaian dengan mendapatkan pandangan daripada pakar perundangan antarabangsa berkenaan kes Pulau Batu Puteh.

Advertisement

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top