BM | EN | 中文

Sultan Johor kecewa KDN enggan semak semula syarat ketat MM2H

Sultan-Ibrahim-Ibni-Almarhum-Sultan-Iskandar.jpg

Gambar Ehsan FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Advertisement

JOHOR BAHRU, 17 SEPT: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kecewa dengan keengganan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyemak semula syarat ketat baru Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).

Sultan Ibrahim menerusi laman facebook baginda memaklumkan telah bertitah kepada Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin supaya menyemak semula syarat baru tersebut.

Baginda turut bertitah akan membangkitkan perkara ini secara peribadi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam tempoh terdekat, memandangkan Johor merupakan antara destinasi popular MM2H, selain sumbangan program berkenaan kepada pendapatan negeri.

Advertisement

“Namun, apa yang kita dengar di Parlimen hanyalah janji untuk mempertimbangkan permohonan peserta MM2H berdasarkan kes demi kes, dan ini adalah diluar jangkaan dan sesuatu yang mengecewakan.

“Jika keselamatan adalah justifikasi utama untuk kriteria baharu, maka pihak Kementerian hanya perlu membatalkan visa pemegang pas MM2H yang didapati melakukan kesalahan, dan bukannya melibatkan semua peserta,” titah Baginda menerusi Royal Press Office (RPO) hari ini.

Sultan Ibrahim bertitah keputusan berkenaan hanya akan membawa implikasi negatif, memandangkan program MM2H sebelum ini membawa kesan positif kepada ekonomi negara.

Advertisement

“MM2H merupakan satu program yang memberi kesan baik kepada ekonomi Malaysia dan begitu juga kepada rakyat serta kerajaan.

“Jika sekarang kita mengenakan syarat ketat hingga memberi kesan kepada peserta, dikhuathiri kelak akan menjejaskan imej negara di mata dunia,” titah Sultan Ibrahim lagi.

Justeru itu baginda berharap perkara ini akan mendapat perhatian serta pertimbangan dari kerajaan tanpa membuat keputusan drastik terhadap program ini.

Advertisement

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top