SULTAN IBRAHIM PANTAU PRESTASI KERJA PEGAWAI JCS

SULTAN IBRAHIM PANTAU PRESTASI KERJA PEGAWAI JCS

JOHOR BAHRU, 4 DIS : Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar akan sentiasa memerhatikan prestasi kerja Pegawai Tadbir Negeri Johor (JCS) kerana golongan berkenaan merupakan nadi kepada pentadbiran negeri.

Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan titah pada Majlis Jamuan Teh Bersama Pegawai-Pegawai Tadbir Negeri Johor di Forest City, Gelang Patah, baru-baru ini.

Titah baginda, Pegawai JCS juga adalah tulang belakang kepada pentadbiran dan pembangunan negeri.

Baginda bertitah, sejarah membuktikan bahawa Johor telah membangun dibawah pemerintahan Raja dan dibantu oleh kecekapan pegawai-pegawai JCS sebelum pembentukan Persekutuan Tanah Melayu.

“Suka saya ingatkan kepada semua Pegawai JCS supaya berpegang kepada prinsip asas perkhidmatan iaitu – ‘Berkhidmat kepada Raja demi kepentingan negeri dan rakyat Johor’.

“Setiap Pegawai JCS juga harus memberi kerjasama yang sepenuhnya kepada Setiausaha Kerajaan Negeri kerana beliau adalah ketua perkhidmatan awam negeri yang dipilih oleh saya sendiri,” titah baginda dalam status yang dimuatnaik di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Dalam pada itu, baginda juga bertitah mahukan semua Pegawai JCS bersatu hati dan sama-sama berkhidmat sebagai satu pasukan demi kepentingan Johor serta pembangunan ekonomi negeri.

“Sekali lagi saya tekankan agar semua Pegawai JCS bersatu-padu dan bekerjasama dalam mentadbir negeri ini, demi kemakmuran negeri dan kesejahteraan hidup rakyat,”titah baginda lagi.

JohorKini

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )