BM | EN | 中文

Sultan Ibrahim lantik TMJ ketuai aktiviti belia di Johor

Sultan-Ibrahim-TMJ-Tunku-Ismail.jpg

Gambar Ehsan FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Advertisement

JOHOR BAHRU, 19 SEPT: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan melantik anakandanya Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk mengetuai dan memimpin semua aktiviti belia di negeri ini.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Dr Abdul Rahim Ramli, pelantikan itu adalah kerana baginda berpendapat anakandanya mampu menjana pembangunan belia dan memimpin golongan berkenaan ke arah mercu kejayaan.

Katanya, baginda bertitah ia berdasarkan kepada ketabahan dan pengalaman luas Tunku Ismail dalam hal ehwal pentadbiran termasuk mengurus tadbir pasukan Johor Darul Ta’zim sehingga berjaya mengharumkan Johor di persada antarabangsa.

Advertisement

Dr Abdul Rahim berkata demikian dalam kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook rasmi Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hari ini.

“Tuanku dengan telek pandang baginda yang amat limpah berkenan melantik DYAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengetuai dan memimpin semua aktiviti belia di negeri Johor.

“Tuanku yakin dan percaya dengan kepimpinan Tunku Mahkota (Tunku Ismail) dan dengan kerjasama kerajaan negeri terhadap penyediaan infrastruktur dan lain-lain kemudahan serta sokongan padu kaum belia Bangsa Johor akan berjaya memperkasakan jati diri bagi mencapai sasaran yang lebih cemerlang pada masa depan,” katanya.

Advertisement

Menurutnya Sultan Johor amat prihatin terhadap pembangunan belia di negeri ini kerana merasakan golongan terbabit merupakan kesinambungan pembangunan dan kemajuan negeri yang lebih holistik, selaras dengan aspirasi dan kehendak bangsa Johor.

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top