ISKANDAR PUTERI, 5 MAC : 28 tahun yang lalu, bumi bertuah ini telah menjayakan penganjuran Sukan Malaysia IV.
Menariknya kini pada 11 hingga 19 Julai nanti, Johor Darul Takzim sekali lagi akan bertanggungjawab untuk memastikan bukan hanya kejayaan penganjuran tetapi kejayaan merangkul gelaran juara keseluruhan SUKMA XX.
Seleras dengan persiapan jitu yang dijalankan, Ketua Kontinjen SUKMA Negeri Johor Datuk Amran A. Rahman ingin memastikan sasaran 66 pingat emas pada temasya ini dapat direalisasikan menerusi usaha yang berterusan semua atlet dan pegawai dalam setiap pasukan. Dianggarkan seramai lebih 1000 atlet dan pegawai bakal menjayakan temasya SUKMA XX nanti.
Majlis amanat “Chef De Mission” Kontinjen Johor yang diadakan menjelang 120 hari penganjuran temasya ini turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn. Bhd. merangkap Timbalan Ketua Kontinjen 1 Dato’ Haji Noorazam Osman, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat SUKMA ke 20, Tuan Haji On bin Jabar, Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor, Encik Mohd Gadaffie Abd Aziz dan kesemua pengurus pasukan SUKMA XX.
Menurut Amran, kebimbangan mengenai wabak Koronavirus (Covid-19) yang dilihat berlaku peningkatan saban hari di dalam negara antara beberapa faktor yang difikirkan diperingkat penganjuran temasya, namun persiapan tetap diteruskan seperti biasa.
JOHORKINI