JOHOR BAHRU, 6 JAN: Sukarelawan Yayasan Pendidikan Hidayah (YPH) telah menggerakan sukarelawannya bagi membantu kerja pembersihan rumah mangsa banjir di sekitar kawasan Tebrau.
Pengurus Besar YPH, Ahmadon Bakri, berkata mereka terdiri daripada kakitangan Sekolah Islam Hidayah Johor Bahru (SIH JB) dalam menjayakan misi bantuan tersebut.

Pengurus Besar YPH, Ahmadon Bakri
Katanya, program itu bagi meringankan bebanan dihadapi mangsa banjir serta membawa motivasi kepada pelajar yang terbabit dalam kegiatan sukarelawan.
“Kita telah menggerakkan sukarelawan bermula sejak hari pertama banjir melanda. Mangsa banjir dibantu untuk pindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
“Mereka juga dibantu dengan makanan yang dimasak khas oleh Hidayah Cafe.
“Pada hari kedua, sukarelawan pula terus terlibat dengan kerja-kerja pembersihan rumah ketika banjir telah surut dan pada peringkat awal kita menyasarkan rumah yang terjejas teruk akibat banjir.
“Selain pembersihan, bantuan dari segi barangan keperluan harian dan makanan juga diberikan. Alhamdulillah ianya suatu program yang berjaya diusahakan.
“Antara fokus kampung adalah Kampung Maju Jaya dan Sinaran Baru yang teruk dilanda bencana banjir baru-baru ini.
“Seramai hampir 50 sukarelawan telah mengambil bahagian dalam misi bantuan tersebut,” kata Ahmadon.
Dalam pada itu beliau memaklumkan YPH turut mewujudkan Tabung Bantuan Banjir untuk memberi peluang dan memudahkan orang ramai menyalurkan bantuan.
“Pihak kami telah mengagihkan bantuan kepada mangsa.
“Kita berharap usaha ini dapat diteruskan lagi dengan bantuan dan sumbangan dari orang ramai untuk disalurkan kepada mangsa,” katanya lagi.
Johorkini