BM | EN | 中文

Sukarelawan Southern Volunteers digerakkan ke Selangor

Sukarelawan-Southern-Volunteers-digerakkan-ke-Selangor.jpeg

Gambar Ehsan Utusan Online

ISKANDAR PUTERI, 20 DIS: Kerajaan negeri menerusi pasukan sukarelawan Southern Volunteers melancarkan misi bantuan kemanusiaan untuk membantu mangsa banjir di Hulu Langat, Selangor hari ini.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor, On Jabbar berkata, bantuan berupa barangan keperluan bernilai RM50,000 itu akan diserahkan kepada Pegawai Daerah Hulu Langat untuk diagihkan antaranya termasuk lampin pakai buang bayi dan dewasa, tuala wanita, makanan kering dan minuman.

“Misi bantuan ini digerakkan ekoran titah Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mahu pasukan sukarelawan Southern Volunteers digerakkan untuk membantu mangsa banjir di beberapa negeri terjejas ketika ini.

“Kami amat responsif dan telah menggerakkan misi bantuan dengan keanggotaan seramai 37 sukarelawan untuk mengagihkan barangan keperluan kepada mereka yang terjejas di sekitar Hulu Langat,” katanya, lapor Utusan Online.

Beliau berkata demikian, ketika majlis pelepasan misi bantuan tersebut, di sini hari ini.

Tambah On, misi itu merupakan bantuan fasa pertama membabitkan agihan barangan keperluan asas dan pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan Selangor untuk bantuan fasa berikutnya membabitkan kerja-kerja pembersihan.

Semalam, Tunku Ismail bertitah bahawa pasukan sukarelawan Southern Volunteer bersiap siaga untuk berkhidmat di enam negeri terlibat bencana banjir ketika ini.

Sementara itu, seorang sukarelawan, Muhammad Nazri Miskam, 40, berkata, sejak terlibat dengan pasukan sukarelawan Southern Volunteers, dia menjaga kesihatan fizikalnya untuk memastikan mampu membantu mana-mana pihak memerlukan.

“Tahun lalu, saya juga pernah menyertai misi bantuan banjir di Kota Tinggi dan Skudai. Jadi saya memang telah persiapkan diri dengan menjaga kesihatan fizikal dan mental untuk situasi seperti ini. Saya berharap melalui misi kemanusiaan ini, kita akan dapat meringankan beban mangsa-mangsa yang terlibat,” katanya yang merupakan seorang kakitangan kerajaan.

Seorang lagi sukarelawan, Chong Khai Siang, 36, pula memberitahu, walaupun keluarga khuatir keselamatan dirinya yang mahu menyertai misi tersebut, namun dia tidak berasa bimbang dan mahu turut sama menghulurkan bantuan.

“Saya lebih memikirkan keperluan dan kesukaran dihadapi mangsa-mangsa banjir di negeri terjejas berbanding diri saya, kita akan sama-sama bantu meringankan bebanan ditanggung mereka,” katanya.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top