JOHOR BAHRU, 13 OGOS: Kebiasaannya sebelum ini, permainan lompat tali, atau jump rope hanya lebih dikenali sebagai aktiviti riadah.
Namun siapa sangka, permainan yang biasanya bagi mengisi waktu senggang kini telah menjadi suatu jenis sukan yang diiktiraf, lengkap dengan peraturan selain pembahagian mengikut kategorinya yang tersendiri.
“Kalau boleh, mengapa tidak permainan ini disenaraikan sebagai salah satu sukan yang dipertandingkan di peringkat Sukma (Sukan Malaysia) suatu hari nanti,” kata Musa Atan, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SK Sri Tebrau ketika dihubungi Johorkini.
Beliau dan seramai 28 pelajar dari tujuh buah sekolah dari Johor kini dalam persiapan bagi mewakili Malaysia ke Incheon, Korea Selatan untuk menyertai Kejohanan Lompat Tali Asia Pasifik 2019.
Selain SK Sri Tebrau, antara wakil dari Johor yang menyertai kejohanan itu termasuk pelajar dari SMK Dato Jaafar, SMK Dato Penggawa Barat, Maktab Sultan Abu Bakar, SMK Sultan Ismail, SM Sains Johor dan SK Felda Kahang Barat.
Menurut Musa, sukan lompat tali terbahagi kepada kategori tertentu mengikut umur, dengan objektif memperolehi mata melalui gaya akrobatik, berdasarkan kepantasan (speed) dan kreativiti.
Lompat tali, kini bukan sahaja menjadi sukan yang memiliki reputasi tinggi untuk dikembangkan, malah mampu mendidik orang ramai tentang kesedaran penjagaan kesihatan.
“Pada tahun 2018, kontinjen Malaysia memenangi tiga pingat emas, empat perak dan tiga gangsa dalam pertandingan peringkat Asean di Bangkok.
“Manakala tahun depan pula, pasukan Malaysia akan menyertai pertandingan lompat tali di Ontario, Kanada,” kata Musa menjelaskan bahawa sukan lompat tali memerlukan sokongan dari semua pihak.
Justeru itu, beliau mengalu-alukan mana-mana pihak termasuk penaja mahu pun agensi berkaitan untuk memaju dan mengembangkan sukan yang intim denga tradisi masyarakat Malaysia ini.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru kepada rakyat Malaysia yang berada di Incheon, Korea Selatan untuk memberikan sokongan kepada pasukan lompat tali negara.
Johorkini