BM | EN | 中文

SUHAKAM, BERSIH 2.0 ANTARA PEMANTAU PRK TANJUNG PIAI

IMG-20191007-WA0019.jpg

PONTIAN, 7 OKT: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) antara badan yang akan memantau perjalanan Pilihan Raya Kecil (PRK) P165 Tanjung Piai.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Mohamed Elias Abu Bakar berkata, selain itu, terdapat beberapa pihak lain yang turut memohon untuk menjadi pemerhati PRK kali ini.

“Ada juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak universiti dan orang perseorangam yang memohon.

“Kita akan pertimbangkan kemudian,” katanya kepada wartawan selepas melawat salah satu pusat pengundian di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Pei Chao di Pekan Kukup, hari ini.

Tambah Elias, SPR sendiri menyediakan empat Pasukan Penguatkuasa Pemantau Kempen Pilihan Raya (PPPKPR) yang akan memantau perjalanan kempen dan proses pengundian.

“SPR sentiasa bekerjasama dan berkongsi maklumat dengan jabatan, agensi kerajaan, selain pihak PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Ini bagi memastikan keselamatan dan kelancaran proses kempen dan pengundian 16 November nanti,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, keperluan dan keselesaan pengundi terutama golongan Orang Kurang Upaya (OKU) juga diberi tumpuan melalui penambahbaikan infrastruktur pusat mengundi.

“Terdapat seramai 977 pengundi OKU daripada lebih 52,000 pengundi pada PRK Tanjung Piai.

“Oleh itu, kita akan membuat laluan kepada OKU, dan mereka akan ditempatkan di saluran satu. Ini kerana, kita mahu memastikan agar semua pengundi dalam keadaan selesa,” katanya.

Beliau berkata, selepas menerima teguran daripada Suhakam dan saranan NGO OKU Sentral, pihaknya telah melakukan beberapa penambaikan.

“Setiap pengundi akan dapat mengundi dan dikurangkan waktu menunggu,” katanya lagi.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top