BM | EN | 中文

SUBSIDI PESAWAH JOHOR PERLU SAMA SKIM PADI JELAPANG

IMG-20191007-WA0010.jpg

JOHOR BAHRU 7 OKT: Kerajaan negeri akan memohon kepada kerajaan pusat agar mempertimbangkan kadar subsidi padi yang sama dengan skim subsidi padi jelapang yang diterima pesawah negeri-negeri lain di negara ini.

Ia secara tidak langsung akan turut memberi manfaat kepada golongan pesawah di beberapa kawasan penanaman padi di negeri ini.

Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian Dan Pembangunan Luar Bandar dalam pemakluman kepada Johorkini berkata, perkara tersebut antara dapatan yang akan dikemukakan menjelang belanjawan 2020 dan belanjawan Johor 2020.

Terdahulu Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian Dan Pembangunan Luar Bandar, Tosrin Jarvanthi melakukan lawatan kerja ke Kampung Sawah Sagil, Ayer Hitam, Batu Pahat, Kampung Sungai Balang, Muar dan Kampung Sawah Ring di Tangkak, awal bulan ini.

Tosrin mempamerkan kebolehan mengendalikan jentera penuai padi

Dalam pertemuan Tosrin dengan para pesawah, antara perkara yang dibincangkan antaranya ialah isu pemilikan tanah, infra berkaitan pengairan, penghasilan selain isu berkaitan agronomi seperti penyakit, haiwan perosak dan masalah pH tanah.

Pihaknya turut merancang bagi mempelbagaikan aktiviti ekonomi pesawah bagi meningkatkan pendapatan, antaranya melalui agro-pelancongan.

Selain itu, beliau turut bercadang untuk memberikan peranan yang lebih besar kepada generasi tani baru terutamanya anak muda dalam urusan kerja di sawah.

Program lawatan kerja tersebut mendapat kerjasama Pejabat-pejabat Daerah, Pejabat-pejabat Tanah Daerah, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor (BPENJ), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) selain agensi-agensi berkaitan Kementerian Pertanian dan Indiustri Asas Tani (MOA).

Statistik Jabatan Pertanian pada 2018 melaporkan, terdapat kira-kira 1,017 pesawah di Johor, manakala keluasan bertanam hampir 3,000 hektar dengan pengeluaran lebih 12,000 metrik tan padi.

Selain Kampung Sawah Sagil di Batu Pahat, Kampung Sungai Balang di Muar dan Kampung Sawah Ring di Tangkak, antara kawasan penanaman padi di negeri Johor terletak di KOREF Eco Farm, Kahang di Kluang, Kampung Tenglu Laut dan Kampung Semaloi di Mersing.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top