KOTA TINGGI, 15 MAC: Suspek yang menembak isteri menggunakan senapang angin dalam kejadian tragis di Taman Saujana Kota Tinggi, 1 Mac lalu akan didakwa di Mahkamah Majistret Kota Tinggi, esok.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mengesahkan perkara itu, lapor My Metro.
“Ya, pendakwaan kes itu akan dilakukan esok di Mahkamah Majistret Kota Tinggi, pagi esok,” katanya.
Rabu lalu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora dilaporkan berkata, perintah reman ke atas suspek disambung enam hari lagi bagi membantu siasatan.
Terdahulu, jenazah wanita berusia 38 tahun itu dituntut keluarganya dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Telaga, Terengganu jam 5.30 pagi, Khamis lalu.
Pada 5 Mac lalu, media melaporkan misteri kehilangan seorang isteri yang didakwa melarikan diri akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemui dalam tong air yang tertanam di sebuah ladang serai di Bandar Penawar, Kota Tinggi.
Lebih memilukan, suaminya yang berusia 43 tahun yang dipercayai menembak mangsa ketika wanita berkenaan sedang tidur.
Johorkini