BM | EN | 中文

SUAMI ISTERI PENSYARAH DIDAKWA SUBAHAT DAPATKAN SUAPAN

suapan.jpg

JOHOR BAHRU, 25 SEPT: Suami isteri yang juga pensyarah kanan sebuah universiti awam di Johor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini, atas tiga pertuduhan berasingan bersubahat dan salah guna kuasa untuk mendapatkan suapan.

Mohd Zul Azmi Ishak, 43, dan Mazlyda Abd Rahman, 41, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob, lapor My Metro.

Bagi pertuduhan pertama hingga ketiga, Mazlyda selaku Pensyarah Kanan Fakulti Sains Komputer dan Matematik sebuah kampus cawangan universiti di Segamat itu, didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan apabila mencadangkan lantikan Syarikat Orkid Jingga milik adik iparnya (adik kepada Mohd Zul Azmi).

Cadangan itu bagi melaksanakan kerja membekal dan menghantar set medal, set medal tambahan dan kit cenderahati serta piala bagi Pertandingan International Invention, Innovation & Design universiti itu dengan harga kerja keseluruhan RM18,813.

Bagi semua perbuatan yang dilakukan di universiti berkenaan antara 7 Mac 2017 hingga 30 Ogos tahun lalu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Dia berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Di mahkamah sama, secara berasingan, Mohd Zul Azmi didakwa bagi tiga pertuduhan bersubahat dengan isterinya itu dalam melakukan semua perbuatan terbabit di universiti sama, pada tarikh sama.

Bagi semua pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dan dibaca bersama Seksyen 23(1) serta Seksyen 24(1) akta sama dengan peruntukan hukuman yang sama, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa SPRM, Norsyarina Raizan, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan masing-masing seorang penjamin.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 13 Oktober ini bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.

 

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top