BM | EN | 中文

STL: Johor Tigris lega ASTAF bagi ‘lampu hijau’

Takraw-johor-tigris.jpg

JOHOR BAHRU, 6 JAN: JOHOR Tigris nyata lega apabila Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) membenarkan kehadiran pemain import bagi menghadapi saingan Liga Sepak Takraw (STL) 2021/22 yang bermula Jumaat ini.

Penolong Pengurus Johor Tigris, Zuraimi Khamis berkata, keputusan ASTAF itu membolehkan mereka membawa masuk pemain import dari Thailand, Swatbanchan Seekhwa dalam memperkuatkan cabaran pada kejohanan kali ini.

“Alhamdulillah, kebenaran yang diberikan pihak ASTAF secara tidak langsung membolehkan pasukan melakukan penambahbaikan untuk menghadapi kejohanan pada kali ini.

“Coach Ahmad Jais Bahrom juga telah merencanakan beberapa strategi lain sebelum ini selepas ASTAF mengeluarkan larangan pemain import.

“Sejujurnya ini merupakan perkhabaran gembira buat Johor Tigris biarpun kami pada awalnya akan menggunakan khidmat pemain daripada skuad Sukma Johor,” katanya, lapor Sukan Sinar.

Sebelum ini, Persatuan Sepak Takraw Thailand (TAT) melarang empat pemain mereka – Swatbanchan Seekhwa, Aekasit Naphom, Anuwat Sombatdee dan Kupithat Khatmimalan daripada menyertai STL berikutan amaran dikeluarkan ASTAF.

Selain Swatbanchan yang bakal menyertai Johor Tigris, Aekasit Naphom akan menggalas cabaran Penang Black Panthers selain Anuwat Sombatdee (Perak Bison) dan Kupithat Khatmimalan (Bomba Fighters).

“Persatuan Sepak Takraw Negeri Johor (PSTJ) telah menguruskan persiapan Swatbanchan, cuma menunggu kelulusan pihak imigresen. Kami harap semuanya akan berjalan dengan lancar.

“Untuk para pemain Sukma Johor sebelum ini, kami akan libatkan mereka dalam sesi latihan bersama pemain senior sebagai pendedahan sebelum bermula temasya tersebut,” jelas Zuraimi.

Pada masa sama, Zuraimi berterima kasih kepada Naib Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan yang juga Presiden Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PERSEWIP) yang prihatin dan mengambil tindakan proaktif memohon pertimbangan semula kepada ASTAF.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top