BM | EN | 中文

SRAM cadang standardkan acara Sukma dan tingkat had umur

Persatuan-Racket-Skuasy-Malaysia-SRAM.png

KUALA LUMPUR, 15 SEPT: Persatuan Racket Skuasy Malaysia (SRAM) mahukan tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) untuk menstandardkan jumlah acara yang akan dianjurkan.

Ini berikutan tindakan tuan rumah Sukma Johor yang menggugurkan acara lelaki dan wanita berpasukan daripada sukan itu buat pertama kalinya, dan hanya mempertandingkan lima acara iaitu, perseorangan lelaki dan wanita, bergu lelaki dan wanita dan bergu campuran.

Wakil teknikal Skuasy ke Sukma Peter Chee berkata, Sukma telah capai satu tahap di mana, tuan rumah akan menggugurkan sukan dan acara yang tidak berpihak kepada kutipan pingat mereka untuk mengungguli kedudukan, di mana perkara ini tidak sihat untuk pembangunan sukan.

“Saya telah menjadi wakil teknikal untuk 10 Sukma, setiap tuan rumah akan menukar jumlah acara dipertandingkan.

“Biasanya akan ada dua acara perseorangan dan dua acara berpasukan, tetapi kali ini tiada acara berpasukan, yang menyebabkan rasa kurang senang dalam kalangan persatuan negeri lain, kerana acara berpasukan amat berprestij sekali.

“Jadi kami cadangkan kepada Majlis Olimpik Negara (OCM) dan Jawatankuasa Tertinggi Sukma untuk menstandardkan di mana ketujuh-tujuh acara itu mesti disenaraikan dikesemua Sukma yang mempunyai dua gelanggang,” katanya pada sidang media selepas bertemu OCM di Wisma OCM di sini semalam.

Sementara itu, Setiausaha SRAM K. Prabu berkata, pihaknya juga mencadangkan agar had umur Sukma ditingkatkan dari 21 ke 23 tahun.

“Ini kerana terdapat lompongan untuk pemain, yang telah menamatkan sekolah dan di universiti, kecuali mereka bemain sirkit profesional, iaitu suatu yang agak sukar.

“Dengan meningkatkan had umur, kita akan mempunyai kejohanan dan laluan pembangunan untuk mereka dalam menghadapi perpindahan daripada ‘junior’ kepada senior,” katanya.

Bernama

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top