BM | EN | 中文

SPRM perlu jelaskan lima kes rasuah politik libat wakil rakyat tukar sokongan kepada kerajaan

lim-guan-eng.jpg
Advertisement

KUALA LUMPUR, 14 OKT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta menjelaskan mengapa wakil rakyat pembangkang didakwa tetapi bukan wakil rakyat pro-kerajaan yang telah menukar sokongan mereka.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng merujuk kepada wakil rakyat pembangkang seperti ahli parlimen Labuan (Warisan), Rozman Isli didakwa tetapi bukan wakil rakyat pro-kerajaan.

Untuk rekod, Rozman hari ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan rasuah yang dikaitkan semasa dia memegang jawatan Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan (LPA) tiga tahun lalu.

Advertisement

Tambah Guan Eng, SPRM telah membuka 687 kertas siasatan antara Januari dan Ogos tahun ini, termasuk 149 kertas siasatan dalam kategori “berprofil tinggi, berkepentingan awam dan sensitif”, sementara 538 dalam kategori biasa.

“Bagaimanapun, SPRM dan Pejabat Peguam Negara secara konsisten dan selektif hanya mendakwa mereka yang menentang kerajaan atau Perdana Menteri.

“Ini telah membuktikan pernyataan Majlis Presiden PH bahawa SPRM telah dijadikan senjata sebagai alat politik untuk mengancam dan mengugut wakil rakyat pembangkang bagi mendorong mereka untuk menyokong kerajaan, terutama ketika mereka memiliki majoriti Parlimen yang lemah dan tidak stabil.

Advertisement

“Di bawah Kerajaan PN, SPRM tidak lagi dilihat sebagai organisasi yang adil, bebas dan profesional yang memerangi rasuah di peringkat tertinggi, tanpa rasa takut atau pilih kasih.

“Oleh itu, DAP menggesa SPRM menjelaskan lima kes rasuah politik melibatkan ahli parlimen yang lompat parti berikutan dorongan atau ugutan, di mana siasatan SPRM berakhir begitu sahaja setelah mereka melompat menyokong kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata Guan Eng lima kes rasuah tersebut adalah kes lompat parti beramai-ramai Adun Sabah tahun lalu.

Advertisement

Kedua, pendedahan audio melibatkan bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang menawarkan jawatan dan kedudukan politik di Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) sebagai pertukaran sokongan politik.

Ketiga, siasatan terhadap ahli parlimen Kuala Langat Dr Xavier Jayakumar setelah beliau menyokong Muhyiddin, yang menurut bekas Perdana Menteri Najib Tun Razak melibatkan RM78.2 juta.

Kes keempat adalah rasuah politik lain melibatkan lima ahli parlimen PKR yang menolak dorongan atau ugutan supaya melompat dan menyokong Muhyiddin iaitu MP Putatan Awang Husaini Sahari, M. Karupaiya (Padang Serai), S. Kesavan (Sg Siput), Michael Teo Yu Leong (Miri) dan Ahli Parlimen Sekijang Natrah Ismail

Advertisement

Manakala kes kelima ialah pendedahan ahli parlimen Tebrau Steven Choong yang meninggalkan PKR untuk menyokong Muhyiddin, mengakui bahawa bekas PM itu menjanjikannya kedudukan rasmi sebagai platform membangunkan semula ekonomi negara.

Tambah Guan Eng lagi, bekas Ketua Polis Negara turut mendedahkan kegagalan SPRM bertindak menentang rasuah politik yang melibatkan ahli parlimen yang melompat menyokong kerajaan.

“Kegagalan SPRM untuk bertindak hanya mengesahkan bahawa pernyataan yang dibuat oleh PH bahawa agensi kerajaan, termasuk SPRM, telah dijadikan senjata politik terhadap pembangkang,” ujarnya.

Advertisement

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top