BM | EN | 中文

SPRM Johor tahan pegawai LPNM dan isteri, disyaki salah guna kuasa

SPRM-MACC.jpg

JOHOR BAHRU, 9 SEPT: Seorang penolong pegawai ehwal ekonomi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dan isteri, ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Johor dipercayai terlibat salah guna kuasa.

Menurut sumber, hasil siasatan yang dijalankan mendapati lelaki berkenaan menggunakan kedudukannya sebagai Pegawai Kawasan di LPNM dengan memilih isterinya sebagai pembekal benih baja nanas pada 2014 dan 2015, berjumlah lebih RM65,000, yang mana pembekalan tersebut tidak dilaksanakan.

Lelaki berumur 39 tahun dan isterinya, seorang suri rumah berumur 37 tahun itu, ditahan di Pejabat SPRM Johor kira-kira 10.15 pagi tadi, bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.

Kedua-dua mereka disiasat mengikut Seksyen 18, 23 dan 28 Akta SPRM 2009 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

Bernama

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top