BM | EN | 中文

SPRM dedah hanya 0.01 peratus penjawat awam berani lapor kes rasuah dalam jabatan

Timbalan-Ketua-Pesuruhjaya-SPRM-Datuk-Seri-Shamshun-Baharin-Mohd-Jamil.png

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Pencegahan) Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil

Advertisement

PUTRAJAYA, 9 DIS: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan, hanya 0.01 peratus daripada 1.6 juta penjawat awam berani tampil melaporkan perbuatan rasuah dalam jabatan dan agensi masing-masing.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil, berkata angka tersebut masih rendah dalam usaha sifar rasuah dalam perkhidmatan awam dapat direalisasikan.

Beliau berkata, walaupun insentif disediakan kepada penjawat awam yang melaporkan kes rasuah namun data suruhanjaya itu menunjukkan hanya 343 penjawat awam tampil memberi maklumat antara 2012 hingga tahun lepas.

Advertisement

“Penjawat awam perlu faham apabila ditawarkan (rasuah), itu adalah kesalahan dan perlu dilaporkan dan tindakan boleh diambil…ini akan menyebabkan mereka yang berurusan dengan penjawat awam tidak berani untuk mendapatkan keistimewaan dan kelulusan tanpa peraturan atau prosedur sewajarnya.

“Ini yang mahu kita jadikan budaya dalam penjawat awam iaitu melaporkan jika ada berlaku kes rasuah sekali gus membersihkan perkhidmatan awam daripada rasuah dan salah guna kuasa,” katanya, lapor Bernama.

Shamshun Baharin berkata, inisiatif berkenaan selari dengan surat dikeluarkan pejabat Ketua Setiausaha Negara pada 2011 bertajuk ‘Garis Panduan Pengiktirafan Kepada Penjawat Awam Yang Melaporkan Pemberian Atau Penerimaan Rasuah’ .

Advertisement

Surat itu menyatakan penjawat awam yang melaporkan kes rasuah akan menerima jumlah insentif yang sama dengan jumlah rasuah yang ditawarkan.

Shamsun Baharin berkata, SPRM mengagihkan kira-kira RM600,000 sebagai insentif kepada 343 penjawat awam kerana melaporkan gejala rasuah kepada suruhanjaya itu, sehingga akhir tahun lepas.

Jelasnya, adalah menjadi kesalahan jika tidak melaporkan kes rasuah dan boleh dikenakan mengikut Seksyen 25 Akta SRPM 2009 yang berdepan dengan denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Advertisement

Beliau berkata, kes pertama yang membabitkan Seksyen 25 itu adalah kes melibatkan lima kakitangan Kementerian Kewangan yang didenda RM1,500 dan RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 2 Dis lepas atas pertuduhan gagal melaporkan kesalahan sogokan kepada SPRM sejak dua tahun lalu.

“Gagal melaporkan juga turut dikenakan tindakan kerana ada undang-undang tersebut dan ini sebagai membuka mata kepada penjawat awam dan orang ramai untuk lebih sensitif serta tampil melaporkan kes rasuah yang berlaku di persekitaran mereka,” katanya.

Jelasnya lagi, organisasi perlu memainkan peranan iaitu memberi sokongan dan perlindungan kepada kakitangan atau pegawai yang melaporkan kes rasuah supaya budaya bebas rasuah ini dapat diamalkan di semua peringkat.

Advertisement

SPRM memberi jaminan maklumat pemberi laporan tidak akan didedahkan malah keselamatan mereka juga akan diutamakan selari dengan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan Akta Perlindungan Saksi 2009, katanya.

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top