BM | EN | 中文

SPR umum hari penamaan calon, tarikh mengundi esok

prn-johor-spr.png

JOHOR BAHRU, 8 FEB: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan sidang media bagi mengumumkan tarikh penting termasuk hari penamaan calon, mengundi awal dan hari mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, di sini, tengah hari esok.

Sidang media pada jam 12.30 tengah hari itu diadakan sejurus suruhanjaya berkenaan selesai mengadakan Mesyuarat Khas Berkaitan PRN Johor ke-15.

Sementara itu, BH Online melaporkan, pengumuman butiran penting pada sidang media itu akan dilakukan Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh.

Pada 24 Januari lalu, SPR dilaporkan akan mengadakan mesyuarat khas PRN Johor pada 9 Februari, antara lain bagi membincangkan tarikh bagi writ pilihan raya dan daftar pemilih yang akan digunakan serta persiapan lain bagi mendepani PRN berkenaan.

Berdasarkan Fasal (4) Perkara 23 Bahagian Kedua, Undang-Undang Johor, Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895 berkehendakkan suatu pilihan raya umum diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN berkenaan.

SPR secara rasmi menerima notis daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kaiat berhubung pembubaran DUN Johor penggal yang ke-14 pada 23 Januari lalu.

Pada 22 Januari lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dilaporkan berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor bagi memberi laluan kepada PRN.

Pada hari sama, Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad jam 5 petang di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.

Kerajaan Johor sebelum ini dilaporkan memiliki majoriti tipis dengan 28 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang, berikutan kematian ahli dewan undangan negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian yang juga mantan Menteri Besar, pada 21 Disember lalu.

Johorkini

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top