PONTIAN, 15 NOV: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meminta pengundi di parlimen Tanjung Piai yang sudah menerima kad pengundi atau sudah mengetahui maklumat daftar pemilih, tidak lagi perlu membuat semakan di barung semakan SPR pada hari pengundian esok.
Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun, berkata bagi pengundi yang tidak menerima Voter’s Card atau belum mengetahui maklumat pengundian, mereka disarankan agar membuat semakan hari ini.
Katanya, semakan boleh dibuat melalui saluran-saluran berikut iaitu, portal semakan daftar pemilih https://pengundi.spr.gov.my, Aplikasi MySPR Semak, Hotline SPR di talian 03-8892 7018 atau SMS ke 15888 (taip SPR<jarak>SEMAK<jarak>NO. KAD PENGENALAN
Beliau berkata, bagi pengundi yang baharu membuat semakan, mereka disaran untuk mencatat dan menyimpan maklumat seperti pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan pemilih.
“Para pengundi juga adalah diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan voter’s card atau catatan maklumat daftar pemilih serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran.
“Voter’s Card dan catatan maklumat pengundian itu akan memudahkan KP1 untuk membuat semakan nama pengundi serta membantu kelancaran proses pengundian pada hari mengundi,” kata Azhar.
Beliau turut mengingatkan pengundi supaya tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak lain.
Johorkini