BM | EN | 中文

SPR disaran perketat SOP semasa adakan PRK Batu Sapi

SPR.jpeg
Advertisement

KUALA LUMPUR, 13 OKT: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyarankan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar memperketatkan lagi prosedur operasi standad (SOP) sedia ada, semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi, Sabah bagi mengelak penularan wabak COVID-19.

Muhyiddin berkata mengambil kira pengalaman pelanggaran SOP semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini, perkara itu perlu ditambah baik.

“Mungkin SPR perlu mengambil kira pengalaman PRN Sabah yang memang ada SOP, tetapi tidak dipatuhi sepenuhnya… bukan nak mengarah, sekadar pandangan saya mungkin perlu perketatkan lagi.

Advertisement

“Contohnya tempoh kempen jangan sampai 14 hari, kalau boleh lebih singkat pun memadai dan lebih menjimat kos. Jadi tak ramai yang ramai keluar kempen. Kempen dari rumah ke rumah dulunya dibuat yang merupakan salah satu sebab penyakit ini menular, kalau boleh ditiadakan. Ini pandangan saya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas di kediamannya di Putrajaya hari ini sebagai menjawab soalan sama ada PRK Batu Sapi perlu ditangguh untuk mengelakkan penularan wabak COVID-19.

SPR hari ini menetapkan hari pengundian PRK Parlimen Batu Sapi pada 5 Dis.

Advertisement

Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh ketika mengumumkan urusan PRK Batu Sapi dalam sidang media di Menara SPR di Putrajaya berkata hari penamaan calon ditetapkan pada 23 Nov manakala hari pengundian awal pada 1 Dis.

Selain itu, Muhyiddin turut menyarankan kepada SPR supaya menyekat sebarang kempen dalam bentuk perhimpunan secara besar-besaran dan penguatkuasaan perlu diadakan untuk mengelakkan pelanggaran SOP itu.

Mana-mana pihak yang ingkar, kata Muhyiddin, tindakan kompaun perlu dikenakan kepada pihak yang terlibat serta-merta.

Advertisement

“Kita harus menggalakkan kempen menerusi media sosial atau media cetak, radio mahupun televisyen. Ini adalah antara format yang diamalkan di negara maju supaya jimat masa mahupun kos dan ia juga berkesan.

“Pada hari mengundi pula, jangan disingkatkan sangat masa sehingga menyukarkan pengundi. Mungkin saluran pula perlu ditambah, begitu juga dengan pegawai SPR supaya tempat pengundian tidak sesak,” katanya.

Muhyiddin berkata ia antara perkara yang perlu diteliti oleh SPR memandangkan PRK berkenaan tidak dapat dielakkan untuk diadakan berikutan ia tertakluk di bawah Perlembagaan.

Advertisement

Mengulas tentang pendirian Perikatan Nasional (PN) tentang keputusan Barisan Nasional (BN) untuk tidak akan bertanding dalam PRK Batu Sapi, Muhyiddin berkata perkara itu akan diteliti sebelum PN membuat sebarang keputusan.

“Ini kerana dalam rundingan bersama Gabungan Rakyat Sabah sebelum ini, ada kerusi tertentu termasuk Batu Sapi diserahkan kepada parti tertentu, jadi apabila BN kata tidak bertanding ia akan terserah kepada parti yang diserahkan kerusi kawasan itu untuk buat keputusan,” katanya.

PRK Batu Sapi diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi parlimen kawasan itu susulan kematian penyandangnya Datuk Liew Vui Keong pada 2 Okt lepas dipercayai akibat jangkitan paru-paru.

Advertisement

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Liew yang mewakili Parti Warisan Sabah berjaya memenangi kerusi Parlimen Batu Sapi dengan majoriti 4,619 undi dalam pertandingan empat penjuru.

Bernama

 

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top