SOSMA KEKAL, NAMUN AKAN DIPINDA-  MUHYIDDIN
Muhyiddin bersalaman dengan pegawai dan anggota polis semasa melakukan lawatan ke Balai Polis Pekan Nanas, Pontian.

SOSMA KEKAL, NAMUN AKAN DIPINDA- MUHYIDDIN

 

Oleh: Khairul Mohd Ali

PONTIAN, 8 NOV: Kerajaan tidak akan memansuhkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), sebaliknya pindaan akan dibuat bagi melakukan penambahbaikan terhadap akta tersebut.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu jelas seperti yang termaktub dalam manifesto kerajaan Pakatan Harapan (PH), sebelum ini.

Menurut beliau, langkah-langkah untuk melakukan pindaan terhadap akta anti keganasan tersebut sudahpun dimulakan.

“Perkara ini sudah dibawa masuk ke kabinet untuk dibincangkan, namun kita masih mahu mendapatkan lebih banyak input termasuklah daripada ahli parlimen, ahli akademik dan peguam sebelum dibincangkan semula di kabinet.

“Ada pihak cakap tempoh reman 28 hari terlalu panjang, agak menyeksakan, kita akan ambil kira perkara ini. Tetapi kita juga ambil kira pandangan polis kerana mereka terlibat dengan isu keganasan, ada yang cakap tempoh 28 hari memadai, ada cakap tidak cukup,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang diadakan selepas melakukan lawatan ke Balai Polis Pekan Nanas, di sini hari ini.

Muhyiddin turut memberikan contoh antara cadangan pindaan yang mungkin dilakukan iaitu dengan mengurangkan tempoh reman kepada 14 hari sebelum lanjutan reman dipohon di mahkamah.

“Ini cadangan, belum muktamad, tempoh reman 14 hari untuk siasatan, jika hendak disambung perlu dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan persetujuan hakim. Ini satu usaha ‘check and balance’.

“Kita nak pertahan Sosma bukan soal Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) sahaja, tetapi soal keganasan. Malaysia sudah dijadikan pangkalan promosi keganasan, ini realiti,” katanya lagi.

JohorKini

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )