BM | EN | 中文

SOP berjemaah di masjid dicadangkan kepada JAINJ, Muzakarah Khas

Solat-tarawih-dengan-jemaah-empat-orang-di-Masjid-Nagara.jpg

Solat tarawih dengan jemaah empat orang di Masjid Nagara (Gambar Ehsan Malaysiakini / Mukhriz Hazim)

JOHOR BAHRU, 8 MEI: Beberapa cadangan berhubung permintaan umat Islam di Malaysia yang mahukan masjid dan surau dibuka bagi tujuan mendirikan solat berjemaah telah dikemukakan kepada Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) serta Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

Dr Faizuan Abdullah

Presiden Persatuan Saintis Muslim Intelek Malaysia (AIMS Malaysia), Dr Faizuan Abdullah berkata antara Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dicadangkan antaranya mengehadkan jemaah yang hadir ke masjid atau surau pada satu-satu masa.

Selain itu katanya, kehadiran jemaah ke masjid dan surau juga perlu dicatat bagi tujuan rekod.

“Hanya 50 orang kariah tempatan dibenarkan untuk menunaikan solat Jumaat. Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid dan surau perlu menyenaraikan nama untuk diberikan kepada pihak berwajib dan disimpan sebagai rekod.

“Jemaah yang dipilih disarankan untuk berwuduk di rumah sebelum bergerak ke masjid atau surau ketika solat Jumaat. Hanya satu pintu sahaja dibuka untuk keluar dan masuk.

“Selain itu, AJK masjid dan surau perlu membuat semakan dan tapisan di depan pintu yang dibuka untuk merekodkan kehadiran kariah yang dibenarkan serta penyediaan ‘hand sanitizer’ untuk disembur ke tangan semua jemaah.

“Saf dijarakkan sekurang-kurangnya 1 meter dan semua jemaah diwajibkan memakai pelitup muka (face mask). Jemaah tidak dibenarkan bersalam-salaman dan hanya diganti dengan isyarat tangan di dada sahaja,” katanya.

Selain itu katanya, tabung bergerak tradisi ketika solat Jumaat berlangsung turut dicadangkan agar tidak dibenarkan bagi mengelak sentuhan berulang kali berlaku.

Serudin Soud

Sementara itu, menurut Setiausaha Surau Kampung Parit Lapis Batu Puteh, Batu Pahat, Serudin Soud berkata sudah tiba masanya untuk JAINJ mempertimbangkan kebenaran untuk masjid atau surau agar mampu melakukan ibadah jemaah semula.

“Sektor ekonomi hari ini telah dilonggarkan untuk beroperasi serta tidak salah untuk umat Islam di negeri ini khususnya untuk menjalankan solat berjemaah.

“Cuma apa yang perlu kita elakkan adalah pengumpulan manusia di masjid dan surau.

“Kerajaan hanya perlu sediakan SOP untuk kariah atau solat berjemaah dan tanggungjawab kerajaan bagi membolehkan umat Islam di Johor boleh melakukan solat tersebut.

“Kita turut khuatir sekiranya penularan Covid-19 ini berlaku, namun langkah-langkah perlindungan perlulah dijalankan agar tidak ada penularan wabak.

“Hakikatnya kerajaan juga telah mengeluarkan SOP kepada sektor ekonomi maka perkara itu mampu dilakukan bagi sektor rumah ibadat,” ujarnya lagi.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top