JOHOR BAHRU, 10 JUN: Solat Jumaat dan solat fardhu lima waktu di masjid-masjid di Johor dibenarkan mulai 12 Jun, namun terhad kepada 40 jemaah sahaja, tidak termasuk pegawai masjid dan surau.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), kewajiban solat Jumaat gugur keatas mereka yang tidak terpilih untuk hadir solat Jumaat pada hari berkenaan dan wajib digantikan dengan solat Zohor.
“Bilangan jemaah solat Jumaat di masjid dan surau Jumaar hanya terhad kepada empat puluh orang jemaah, tidak termasuk pegawai masjid dan surau di seluruh Johor.
“Kewajiban solat Jumaat gugur keatas mereka yang tidak terpilih untuk hadir solat Jumaat pada hari berkenaan dan wajib digantikan dengan solat Zohor.
“Bilangan jemaah solat berjemaah fardhu lima waktu hanya terhad kepada empat puluh orang jemaah, tidak termasuk pegawai masjid dan surau di seluruh Johor.
“Manakala ahli kariah yang lain hendaklah menunaikan solat berjemaah fardhu lima waktu di rumah masing-masing.
“Kebenaran ini berkuatkuasa mulai waktu Subuh 20 Syawal 1441H bersamaan 12 Jun 2020 sehingga satu tarikh yang akan ditentukan MAINJ setelah mendapat pandangan dan nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” kenyataan tersebut dipetik.
Dalam pada itu kenyataan tersebut turut mengingatkan ahli jawatankuasa masjid dan surau bertanggungjawab dalam memastikan pengurusan dan pelaksanaan solat Jumaat dan solat berjemaah fardhu lima waktu di masjid dan surau berjalan dengan lancar dan mematuhi segala garis panduan yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Negeri Johor.
Johorkini