KUALA LUMPUR, 26 MAC: Umat Islam di Malaysia diminta untuk mendirikan solat hajat serentak selepas waktu Zohor di seluruh negara esok, khusus bagi memohon kepada Allah SWT untuk menolak wabak Covid-19 yang sedang melanda negara pada masa ini.
Seruan tersebut dinyatakan oleh Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam satu kenyataannya, hari ini.
“Saya menyeru seluruh umat Islam di Malaysia untuk menyahut titah Agong dengan melaksanakan solat hajat serentak di seluruh negara pada hari Jumaat (esok), 27 Mac bersamaan 3 Syaaban selepas solat Zuhur di rumah dan tempat masing-masing dan memenuhi hari Jumaat dengan zikrullah, taubat dan munajat kepada-Nya,” katanya.
Terdahulu DYMM SPB Yang Dipertuan Agong, Sultan Abdullah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah telah menitahkan agar rakyat jelata masing-masing mendirikan Solat Hajat khusus bagi menolak wabak Covid-19 yang sedang melanda negara.
Justeru itu, Datuk Dr Zulkifli berkata beliau amat mengharapkan kerjasama dari semua pihak untuk menyahut titah KDYMM Tuanku Agong dengan melaksanakannya di rumah dan tempat masing-masing dengan mematuhi segala arahan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia.
Menurut Datuk Dr Zulkifli, solat hajat tersebut boleh dilakukan pada waktu siang atau malam kecuali pada waktu-waktu yang diharamkan solat iaitu:
i. Sesudah solat Subuh hingga terbit matahari. (kecuali bagi mereka yang berada di Tanah Haram).
ii. Selepas terbit matahari hingga kadar 7 hasta pandangan mata. Kira-kira 3 darjah.
iii. Ketika matahari tegak di atas kepala kecuali pada hari Jumaat.
iv. Selepas solat Asar (kecuali di Tanah Haram).
v. Ketika matahari kemerahan di waktu senja hingga terbenam seluruh bulatannya. (kecuali di Tanah Haram)
“Begitu juga marilah kita membanyakkan istighfar, taubat, zikrullah dan amalan ketaatan serta munajat yang tak putus-putus kepada-Nya,” katanya lagi.
Johorkini