BM | EN | 中文

Sokong lebih banyak inisiatif berpaksikan rakyat di Iskandar Malaysia – Muhyiddin

Iskandar-Malaysia_IRDA.jpg

Gambar Ehsan The Star

Advertisement

PUTRAJAYA, 23 OKT: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin menyokong lebih banyak inisiatif tambahan untuk faedah rakyat bagi meningkatkan lagi taraf kehidupan mereka, terutamanya di kawasan Iskandar Malaysia.

Beliau yang juga Pengerusi Bersama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) berkata, rakyat dalam kawasan Iskandar Malaysia perlu terus mendapat manfaat daripada pembangunan koridor ekonomi berkenaan.

“Sebagai koridor pembangunan, Iskandar Malaysia telah menunjukkan pencapaian cemerlang dalam menarik pelaburan sejak penubuhannya sehingga kini.

Advertisement

“Bagaimanapun, saya lebih teruja untuk melihat koridor ekonomi ini terus melaksanakan lebih banyak inisiatif rakyat bagi memastikan rakyat tidak ketinggalan sekaligus dapat membina masyarakat yang kental, berdaya tahan dan padu dalam mengharungi pembangunan pesat dan pantas di koridor ekonomi ini,” kata Muhyiddin selepas mesyuarat bersama IRDA, baru-baru ini.

Difahamkan dengan jumlah pelaburan kumulatif keseluruhan mencecah RM322.1 bilion dari 2006 sehingga Jun 2020, Iskandar Malaysia turut mencatatkan lebih 750,000 peluang pekerjaan dalam tempoh yang sama.

Sementara itu Ketua Eksekutif IRDA, Datuk Ismail Ibrahim berkata perkongsian kekayaan dan agenda kerterangkuman dalam Rancangan Pembangunan Komprehensif Iskandar Malaysia Kedua (CDPii) bermatlamat untuk mencapai perkongsian kekayaan secara adil dan saksama kepada seluruh masyarakat di Iskandar Malaysia.

Advertisement

“Aspek penting dalam memastikan agenda ini dapat dilaksana secara mampan ialah memastikan ekosistem dapat menggalakkan jalinan sosial bagi membantu penyertaan masyarakat dalam proses membuat keputusan dan melaksana inisiatif yang berasaskan tempatan.

“Satu cadangan utama pada mesyuarat Ahli Pihak Berkuasa IRDA ialah untuk menganjurkan usaha pengumpulan data melalui Organisasi Masyarakat Awam (CSOs) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGOs) dengan memanfaat teknologi.

Katanya dengan menggunakan data diperolehi daripada CSOs dan NGOs serta memanfaat teknologi bagi menganalisis data berkenaan akan membantu pihak berkuasa dan rakan-rakan kerjasama lain dalam Iskandar Malaysia.

Advertisement

Melalui cadangan yang lebih efektif,  penyelesaian berasaskan pembuktian serta inisiatif dapat dilakukan bagi kesejahteraan hidup rakyat.

“Cadangan lain ialah inisiatif bagi memperkasa kemahiran dan kecekapan institusi kepimpinan berasas masyarakat.

“Selain itu cadangan untuk jawatankuasa dan wakil serta kepimpinan komuniti yang dilantik mengikuti latihan pembangunan kapasiti secara berstruktur,” ujarnya lanjut.

Advertisement

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top